X

Kindly register in order to view this article
!

Pengurus jenazah cekal urus 18 jenazah sehari

Faizah Hamezah (dua, kiri) bersama rakan setugas memakai pakaian perlindungan diri sebagai langkah keselamatan setiap kali mengendalikan jenazah pesakit Covid-19 ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Johor Bahru.- Foto Bernama, gambar kecil: Faizah
A
A

JOHOR BAHRU - Meskipun pernah menguruskan hingga 18 jenazah pesakit Covid-19 dalam sehari, Faizah Hamezah tidak pernah berasa sukar dengan tugasnya sebagai pengendali jenazah demi menunaikan tuntutan fardu kifayah.

Biarpun terdapat gesaan daripada ahli keluarga untuk berhenti, namun wanita berusia 40 tahun itu terus cekal melaksanakan tugas murni berkenaan walaupun menyedari hakikat dan risiko besar yang dihadapinya.

Ibu kepada lima anak itu berkata, lama-kelamaan ahli keluarganya makin memahami dan memberi sokongan kepadanya untuk melunaskan peranan dan tanggungjawab dalam mengendalikan jenazah Covid-19 dengan sebaik mungkin sebagai saudara seagama.

"(Dalam sehari), adakalanya antara lima hingga enam jenazah perlu diuruskan dan paling banyak ialah saya perlu menguruskan 18 jenazah sehari. Sebelum ini, saya ada menguruskan jenazah HIV, namun saya rasa jenazah Covid-19 paling mencabar, apatah lagi kebanyakannya pesakit positif pada tahap lima.

"Pada mulanya ahli keluarga (saya sendiri) tidak bagi meneruskan (hasrat ini). Tetapi, saya maklumkan (kepada mereka) kalau saya tidak ke depan untuk membantu jenazah perempuan (Covid-19), siapa lagi yang akan melakukannya?" katanya ketika ditemui Bernama di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini baru-baru ini.

Menjelaskan mengenai tugasannya, Faizah perlu sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk dipanggil menjalankan tugas yang diamanahkan itu memandangkan setiap hari pasti ada kematian disebabkan virus Covid-19.

"Untuk jenazah Covid-19, saya perlu memakai pakaian pelindung diri (PPE), setiap sudut pihak hospital akan tengok (dengan teliti) bagi mengesan sama ada berlaku kebocoran atau tidak dan saya perlu sentiasa sihat untuk menguruskan jenazah tersebut," katanya.

Faizah (kiri) dibantu rakan setugas melakukan proses tayamum ke atas jenazah pesakit COVID-19 di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Johor Bahru baru-baru ini. - Foto Bernama
Faizah (kiri) dibantu rakan setugas melakukan proses tayamum ke atas jenazah pesakit COVID-19 di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Johor Bahru baru-baru ini. - Foto Bernama

Faizah adalah antara yang dilantik oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan mendapat latihan terus daripada Kementerian Kesihatan (Jabatan Perubatan Forensik, HSAJB) sebagai petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 (perempuan) untuk melaksanakan proses mentajhiz iaitu memandikan, mengkafankan, solat dan pengebumian jenazah.

Selain di HSA, beliau turut melaksanakan proses mentajhiz jenazah pesakit Covid-19 di Hospital Sultan Ismail, di sini, sejak Mac tahun lepas.

Berpengalaman menguruskan jenazah Muslimat sejak 16 tahun, Faizah berkata, antara pengalaman dan situasi meruntun jiwa ketika melaksanakan tugas adalah menyaksikan ahli keluarga mangsa Covid-19 tidak dapat bersama menguruskan jenazah.

Beliau berkata, bukan sahaja mereka tidak dapat melihat wajah jenazah buat kali terakhir, malah perlu menaruh sepenuh kepercayaan kepada petugas khas pengurusan jenazah Covid-19 untuk menyempurnakan pengebumian insan tersayang.

"Apa yang menyedihkan apabila waris dalam keadaan tidak tentu arah merayu-rayu supaya kami membenarkan mereka melihat jenazah (ketika pengecaman) lebih daripada dua orang, tapi demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kita memang tidak membenarkannya," katanya yang pernah bertugas sebagai guru pada 1999 hingga 2004.

Beliau berkata, jenazah Muslimin dan Muslimat Covid-19 di sekitar daerah Johor Bahru dikebumikan di tiga lokasi tanah perkuburan Islam iaitu Tanah Perkuburan Islam Ar-Raudhah di Taman Mount Austin, Tanah Perkuburan Islam Taman Impian Emas di Skudai dan Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai di Pasir Gudang. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!