Tumpahnya kuah ke nasi

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

BARU-BARU ini kecoh pula tentang pokok durian musang king ditebang oleh pihak berkuasa di sebabkan oleh pekebun haram meneroka tanah di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam Raub, Pahang.

Diberitakan lagi, berlaku kekecohan juga disebabkan peneroka yang katanya telah menanam pokok durian tersebut sudah lebih 20 tahun, meminta tidak diambil tindakan. Ia melibatkan juga orang politik yang mungkin cuba menjadi jaguh membela peneroka tersebut.

Saya ada melihat juga gambar pokok durian yang telah tumbang. Lebat buahnya. Tumbang menyembah bumi tanpa sempat dituai hasilnya. Sayang pula rasanya.

Sayang sebab buah durian musang king ini bukan murah. Kalau ditunggu gugur dulu, kemudian diberi percuma kepada rakyat jelata untuk berpeluang merasanya eloklah juga.

Saya pernah juga makan durian musang king ini. Itupun sekali sahaja sepanjang saya hidup ini atas asbab ada orang belanja. Kalau untuk membeli dengan duit sendiri, tidak ada daya untuk saya membelinya. Lagipun, saya bukan peminat durian.

Saya pun pelik juga apabila ramai begitu teruja apabila dapat beli dan rasa musang king dan satu lagi buah durian yang namanya duri hitam. Duri hitam ini pun saya pernah merasanya juga sekali, asbab orang belanja juga.

Harga buah durian ini memang tidak masuk akal. Tidak tahu kenapa boleh jadi mahal. Kalau hendak dikatakan disebabkan rasanya, bagi saya, biasa-biasa sahaja. Tidaklah terbeliak biji mata saya ketika memakannya.

Mungkin disebabkan ada orang yang sanggup membayarnya dengan harga tinggi, maka peniaga durian tanpa segan silu menjualnya dengan harga mahal. Kalau tidak ada orang membelinya dengan harga tinggi, mungkin harganya akan jatuh.

Artikel Berkaitan:

Secara amnya mengikut bahasa ekonomi, permintaan melebihi penawaran agaknya. Lagipun saya tidaklah tahu, bagaimana cara menanamnya. Mungkin juga baja atau cara tanamnya perlu menggunakan baja yang mahal agaknya.

Ataupun mungkin, ia perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, bak kata pepatah ‘ditatang bagai minyak penuh’. Walaupun begitu harganya, hanya orang kayangan sahaja yang mampu. Orang seperti saya hanya mampu makan apabila ada orang sudi belanja sahaja.

Walaupun sudah ditanam melebih 20 tahun, eloklah peneroka yang terlibat menerima hakikat. Yang salah tetap salah. Tempat yang tidak boleh ditanam seperti di kawasan larangan, tanah hutan simpan kekal eloklah dipatuhi.

Cuma yang menjadi pertanyaan ramai rakyat jelata, ialah kenapa selepas 20 tahun baru diambil tindakan? Dan bagaimana penanam ini boleh bertahan selama itu? Kenapa tidak ada tindakan sebelum itu?

Apa yang saya baca, katanya sebelum ini, kerajaan membenarkan untuk memakmurkan tanah-tanah yang terbiar untuk ditanam dengan tanaman supaya boleh diambil manfaat oleh rakyat jelata.

Mungkin tanah selain HSK agaknya. Cuma apabila peneroka yang melihat keuntungan, maka sifat tamak haloba ini yang telah memusnahkan diri apabila menanamnya di HSK pula. Maka ini tidak bolehlah. Sepatutnya mereka ini tahu apa fungsi HSK ini kepada rakyat jelata.

Maka eloklah dibuat siasatan, apa yang sebenarnya berlaku. Seperti yang disarankan oleh Datuk Hussamuddin Yaacub selaku Ketua Pasukan Rasuah Busters, eloklah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan supaya tiada unsur rasuah berlaku terutamanya yang melibatkan pegawai dan pembesar.

Mereka-mereka yang umpama tongkat membawa rebah ini eloklah diambil tindakan. Kalau dibiarkan rosaklah negara dan bangsa. Apa lagi yang tinggal kepada kita, kalau negara yang sepatutnya bebas daripada gejala rasuah yang membarah ini punah.

Selain itu seperti saranan Ketua Pasukan Rasuah Busters ini lagi, molek juga pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri menyiasat kalau-kalau ada juga penipuan cukai.

Selama 20 tahun peneroka yang telah makan hasilnya, entah sudah berapa ribu untung dikautnya tanpa mengisytihar pendapatan, maka rugilah pendapatan negeri atau negara.

Maka kepada mereka-mereka yang terlibat ini, terutama mereka yang ada kuasa sehinggalah kepada rakyat jelata, eloklah menghayati pepatah Melayu lama daripada orang-orang lama yang bijak pandai ini, ‘bagaimana contoh, begitulah gubahannya dan bagaimana rupa, begitulah bayangnya’.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com