Tujuh dipanggil libat penyebaran maklumat sulit PKPD Ayer Keroh

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Polis memanggil tujuh individu termasuk penjawat awam bagi membantu siasatan berhubung penyebaran maklumat sulit cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Ayer Keroh yang tular di laman sosial minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mereka yang dipanggil sejak Selasa lalu itu berusia antara 20 hingga 45 tahun.

"Kita memanggil mereka susulan dua laporan polis yang dibuat di Balai Polis Ayer Keroh berhubung penularan maklumat terbabit.

"Satu kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat pihak yang menimbulkan keresahan dan kegusaran penduduk di kawasan berkenaan sebagaimana tular di media sosial," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Sementara itu, Exco Kesihatan dan Antidadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerajaan negeri dan individu lain telah membuat laporan polis pada 6 Julai lalu kerana penyebaran maklumat itu telah menyebabkan kebimbangan orang awam sehinggakan kerajaan terpaksa mencari kaedah lain untuk melaksanakan PKPD di Ayer Keroh.

"Biarpun tidak dapat melaksanakan PKPD, namun akhirnya kita membuat keputusan berhemah dangan mengawal penularan kes Covid-19 yang aktif di kawasan perindustrian Ayer Keroh membabitkan kluster industri," katanya.

Sebelum ini, tular rakaman suara di aplikasi WhatsApp berkenaan PKPD akan diadakan di Ayer Keroh membabitkan empat taman selain gambar penduduk bertindak menahan bas pekerja hanya kerana bimbang terdapat warga asing cuba melarikan diri ke lokasi lain.

Artikel Berkaitan: