Kerajaan PN tidak tergugat sama sekali

Nik Ahmad Kamal
Nik Ahmad Kamal
A
A
A

SHAH ALAM - Kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri masih tidak tergugat walaupun UMNO telah menarik sokongan terhadap beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, tindakan itu tidak semestinya membuatkan Muhyiddin secara automatik hilang sokongan majoriti di Parlimen.

“Kehilangan majoriti itu perlu dibuktikan secara jelas sama ada melalui usul undi tidak percaya di Parlimen atau pembentangan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa majoriti ahli Parlimen tidak lagi menyokong Muhyiddin.

“Ia selaras Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut jika perdana menteri hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, maka beliau perlu letak jawatan dalam kabinet atau perlu menasihatkan Seri Paduka untuk membubarkan Parlimen,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan PN belum runtuh, sokongan 32 MP BN tidak berganjak

Beliau menegaskan, bukti kukuh kehilangan majoriti itu perlu dikemukakan mengikut lunas yang betul.

“Perlu dibentangkan usul undi tidak percaya di Parlimen kerana dari situ, kita dapat lihat angka tepat berapa ramai ahli Parlimen UMNO dan pembangkang yang menyokong serta berapa ramai yang menentang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muka hadapan Sinar Harian
Muka hadapan Sinar Harian

Ujarnya, jika usul undi tidak percaya dibentangkan di Dewan Rakyat, maka perlu ada satu kumpulan ahli Parlimen menghadap Seri Paduka dan membuktikan mereka tidak lagi menyokong Muhyiddin.

“Jika itu berlaku, dengan sendirinya Seri Paduka memanggil Perdana Menteri dan menunjukkan bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Seri Paduka akan meminta Perdana Menteri meletak jawatan. Mungkin Perdana Menteri menasihatkan Seri Paduka membubarkan Parlimen.

“Namun dalam keadaan pandemik, saya yakin Al-Sultan Abdullah tidak akan bubarkan Parlimen,” katanya.

Jelasnya, Seri Paduka berkemungkinan mempunyai calon pengganti Muhyiddin yang akan mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Namun, jika tiada calon, mungkin Seri Paduka akan lantik seorang perdana menteri interim,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Muhyiddin dan jemaah menteri masih berkuasa

Rakyat kelaparan, pemimpin politik sibuk 'bertumbuk'

‘Tak semudah itu lepas jawatan’