X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan PN belum runtuh, sokongan 32 MP BN tidak berganjak

Nazri beri jaminan sokongan 32 ahli Parlimen UMNO terhadap kerajaan PN akan terus kekal sehingga pembubaran Parlimen, meskipun parti itu memutuskan untuk menarik sokongan serta-merta.
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberi jaminan sokongan sekurang-kurangnya 32 ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada ketika ini masih tidak berganjak.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab desas-desus majoriti ahli Parlimen UMNO dikatakan akur dengan keputusan terkini dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti Rabu malam yang memuktamadkan penarikan sokongan parti itu terhadap kerajaan PN serta-merta.

Jelas Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu, sokongan 32 ahli Parlimen UMNO berkenaan bakal diterjemahkan dalam bentuk pengundian terhadap sebarang usul dikemukakan pada sidang Parlimen akan datang.

"Setakat pengetahuan saya, jumlah 32 ahli Parlimen UMNO yang mengikut ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 iaitu menyokong kerajaan PN sehingga pembubaran Parlimen, adalah kukuh...Bahkan mungkin bertambah kepada 35 orang.

"Kalau ada yang berubah hati selepas keputusan MKT malam tadi (Rabu malam), ahli Parlimen UMNO berkenaan mungkin terdiri geng yang mahu tarik sokongan seperti Zahid; Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak; Ahmad Maslan (Datuk Seri Ahmad Maslan); Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ku Li (Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah).

"Kalau umum sekarang pun tidak guna. Kita akan buktikan sokongan kepada kerajaan PN dalam sidang Parlimen akan datang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohamed Nazri
Mohamed Nazri

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin serta-merta

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hasil keputusan mesyuarat MKT pada Rabu malam memutuskan untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta.

Selepas hampir lima jam bermesyuarat, Ahmad Zahid menegaskan ketetapan tersebut diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memenuhi aspirasi yang digariskan parti itu.

Mesyuarat MKT Rabu malam turut memutuskan UMNO tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, Mohamad Nazri menjelaskan kedudukan kerajaan PN diterajui Muhyiddin masih tidak runtuh sekali pun UMNO sudah memuktamadkan ketetapan keluar daripada kerajaan PN serta-merta.

Jelas beliau, kuasa menentukan kedudukan Muhyiddin dan kerajaan PN terletak di tangan ahli-ahli Parlimen dan bukannya parti.

"Saya percaya tindakan Ahmad Zahid menggunakan MKT disebabkan dia tidak berpuas hati dengan keputusan pelantikan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM). Dia sebenarnya idamkan sangat jawatan TPM itu.

"Saya juga cabar MKT untuk mencadangkan kesemua 32 ahli Parlimen yang bersama saya dipecat UMNO kerana kami pastinya akan tentang keputusan itu habis-habisan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Nazri turut menasihatkan Ahmad Zahid agar tidak menjadikan UMNO sebagai alat untuk melepaskan diri daripada pendakwaan kes mahkamah.

"Kalau dia mahu guna alasan usul PAU 2020 telah dipinda dan memberi mandat kepada MKT, takrifan itu tidak betul kerana usul asal perlu dipinda melalui satu mesyuarat agung tahunan khas (EGM) UMNO dengan notis pindaan usul perlu dikemukakan terlebih dahulu.

"Kalau Zahid berani, buat EGM untuk pinda usul asal PAU 2020...Jangan nanti akar umbi kemuka usul tukar Presiden UMNO pula," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!