Rakyat kelaparan, pemimpin politik sibuk 'bertumbuk'

Ramai yang mempertikaikan adakah sekarang ini waktu yang sesuai untuk pemimpin bergaduh dan bercakaran. Gambar kecil: Abdul Aziz, Mustapha
Ramai yang mempertikaikan adakah sekarang ini waktu yang sesuai untuk pemimpin bergaduh dan bercakaran. Gambar kecil: Abdul Aziz, Mustapha
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat sudah bosan dengan kerenah pemimpin politik yang dilihat lebih memperjuangkan strategi dan masa depan politik masing-masing berbanding membantu rakyat yang kian menderita akibat pandemik Covid-19.

Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Dr Abdul Aziz Rahman berkata, negara bukan sahaja berdepan pandemik Covid-19 tetapi juga 'Covid politik'.

"Fokus utama adalah membantu rakyat yang kesusahan dan politicking yang keterlaluan yang juga boleh dianggap 'Covid politik' bukanlah solusi yang diperlukan pada ketika ini," ujar beliau kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurut Abdul Aziz, beban ditanggung rakyat akibat pandemik tidak boleh dipandang ringan, kehilangan punca pendapatan dan juga masalah kesihatan mental yang serius antara yang perlu diberi perhatian segera.

"Tujuan darurat adalah untuk meredakan kesusahan rakyat, membantu mereka yang terkesan akibat Covid-19 seperti kehilangan pekerjaan, hilang punca pendapatan, terputus bekalan makanan dan mengalami masalah kesihatan.

"Namun usaha membantu golongan yang terkesan ini tergugat dan tidak dapat dilakukan secara berhemah apabila negara dihadapkan dengan ketidaktenteraman politik," katanya lagi.

Konflik mengejar kuasa dan politicking menyebabkan rakyat berasa bosan dan hilang kepercayaan sehinggakan agenda politik menjadi bahan cemuhan.

"Situasi ini boleh bertukar bahaya sekiranya tidak dibendung kerana ia boleh mendorong berlakunya tunjuk perasaan dan sebagainya apabila hilang pertimbangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muka hadapan Sinar Harian
Muka hadapan Sinar Harian

Abdul Aziz menyarankan, perlunya kerajaan interim yang merangkumi pelbagai lapisan ideologi politik bagi sama-sama menangani kemelut semasa dalam negara.

"Kerajaan interim itu tidak perlu terlalu ramai ahli, sebaliknya kita perlukan kepimpinan yang tegas, mantap dan mampu bertindak cepat dalam menyelesaikan masalah.

"Gabungkan juga pemimpin muda yang mampu berfikir dan bertindak cepat, norma baharu memerlukan corak kepimpinan baharu," katanya sambil menegaskan rakyat, ekonomi dan kesihatan merupakan tiga aspek yang perlu diberi fokus," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan PN belum runtuh, sokongan 32 MP BN tidak berganjak

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, sekiranya terbukti kepimpinan kerajaan sedia ada telah hilang mandat dan kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat maka boleh disarankan pelantikan perdana menteri sementara.

"Sekiranya kerajaan sedia ada telah hilang mandat atau kepercayaan maka eloklah dilantik Perdana Menteri sementara namun pelantikan tersebut mesti diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana Seri Paduka Baginda yang selayaknya memutuskan kemelut yang mengundang kegelisahan kepada rakyat," ujar Mustapha kepada Sinar Harian.

Tambah Mustapha yang juga Penerima Tokoh Utama Maulidur Rasul 2020 1442H Peringkat Kebangsaan, cukup sekadar ada 10 atau 12 orang penasihat yang berfungsi mewakili semua parti sehingga pilihan raya diadakan kelak.

"Ketika pilihan raya nanti mandat rakyat yang akan menentukan parti mana yang berkuasa dan memerintah namun buat masa ini hentikan percakaran politik dan beri tumpuan kepada usaha membantu rakyat," katanya lagi.

Tegas beliau, situasi Covid-19 pada ketika ini bukan sahaja mengancam nyawa malah menjejaskan kehidupan rakyat sehingga ada yang terpaksa berlapar maka bantuan sama ada jangka pendek dan jangka panjang amatlah diperlukan.

"Bukan sekadar beri bantuan secara one-off tetapi rakyat terutamanya yang telah kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan perlu diberi bantuan jangka panjang seperti latihan kemahiran dalam bidang perniagaan kecil sederhana, pertanian, penternakan serta perniagaan dalam talian selain bimbingan menerusi Kementerian Sumber Manusia misalnya bagi membolehkan mereka mencari peluang pekerjaan baharu kelak.

"Sokongan moral juga tidak boleh diketepikan berikutan semakin ramai rakyat yang hidup tertekan dan mengalami masalah kesihatan mental akibat pandemik yang belum nampak tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat," katanya lagi.

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye

Dalam pada itu, aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye turut sependapat politicking perlu dihentikan pada ketika rakyat memerlukan perhatian, sokongan dan bantuan segera dalam mendepani pandemik Covid-19.

"Tidak kira mana-mana parti, ini bukan masa untuk politicking, tunggulah sehingga masa untuk pilihan raya dan bentanglah segala strategi dan program untuk kebaikan negara dan rakyat.

"Kita sekarang bergelut dengan krisis kesihatan awam yang paling serius, begitu ramai rakyat yang sengsara, ada yang jatuh sakit, kelaparan dan putus punca rezeki akibat kesan pandemik Covid-19," kata beliau kepada Sinar Harian.

Ujarnya, sesiapa yang menyandang jawatan penting dalam mana-mana parti politik harus memikirkan bebanan yang dihadapi rakyat dan bukannya memikirkan percaturan politik semata-mata.

"Kita ambil contoh sekiranya Parlimen boleh bersidang kelak, apakah isu yang akan dibawa oleh para perwakilan rakyat?

"Setiap wakil rakyat bertanggungjawab membawa isu-isu rakyat dan kerajaan harus bersikap terbuka dalam mendengar segala permasalahan tersebut.

"Sekiranya ada idea yang baik tidak kira sama ada daripada pembangkang atau kerajaan bagi membantu rakyat maka ia perlu diusahakan secara kolektif demi kebaikan rakyat," katanya.