X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO perlu terus utuh pendirian berjuang untuk rakyat: Tok Mat

Kenyataan dikongsikan Mohamad melalui Facebooknya pada Khamis.
A
A

SHAH ALAM - UMNO perlu terus mempunyai pendirian yang jelas untuk berkhidmat kepada rakyat bukan untuk kuasa mahupun kedudukan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, parti itu tidak diasaskan untuk kepentingan lain kecuali memperjuangkan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia, memuliakan Islam, memelihara kehormatan institusi raja serta membangunkan negara.

"Ini akan terus menjadi pendirian UMNO. Sebagai parti politik, kejelasan sebuah pendirian sangat penting. Tanpa pendirian, UMNO hanya jadi sebuah parti terdaftar, bukan sebuah perjuangan.

"Justeru dalam keadaan negara yang sangat meleset, UMNO wajar tampil dengan sebuah pendirian. Membiarkan kemelesetan negara ini menerus, laksana UMNO merestuinya.

"Apabila sistem kesihatan semakin parah, ekonomi merudum, tahap kemiskinan meningkat, mereka yang membunuh diri semakin banyak, kelaparan menjadi nyata, bendera putih, hitam dan segala warna telah dikibarkan, demokrasi diselewengkan sehingga institusi raja disanggah dengan tiada susila, UMNO tidak boleh menjadi sebahagian daripada kemelesetan ini," katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.

Tambah beliau, semua ahli UMNO perlu yakin, pendirian kepimpinan UMNO tidak akan tergelincir daripada keutamaan rakyat, negara dan parti.

"Ia pasti selari dengan keputusan perwakilan perhimpunan agung. Tiada individu lebih besar daripada UMNO. Tiada tokoh lebih penting dari parti dan rakyat.

"Tiada kuasa lebih besar daripada kuasa rakyat. Tiada perjuangan lebih bererti daripada perjuangan untuk rakyat yang marhaen dan yang terjejas.

"Insya-ALLAH, UMNO telah ada sebuah pendirian dan jalan ke hadapan. Semoga jalan dan pendirian yang direncanakan ini adalah sebaiknya jalan dan pendirian untuk rakyat, tanah air dan parti kita UMNO. Kepada ahli dan rakyat, UMNO sandarkan masa depannya," kata beliau lagi menerusi hantaran tersebut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!