Geng pijun 'kaki samun' diberkas

Mohd Sabri menerusi Op Bantu menemui sebuah keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di kawasan Selama pada Rabu.
Mohd Sabri menerusi Op Bantu menemui sebuah keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di kawasan Selama pada Rabu.
A
A
A

LARUT - Dua ahli Geng Pijun yang terlibat dalam kegiatan samun dan mempunyai sehingga 29 rekod jenayah lampau berjaya diberkas polis dalam serbuan berasingan Jun lalu.

Kedua-dua mereka termasuk suspek utama berusia 32 tahun ditahan pada 22 dan 28 Jun selepas terlibat dalam kegiatan samun di Bukit Bertam dan Gua Petai, Selama, di sini.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Mohd Sabri Saat berkata, siasatan mendapati modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan kedai runcit dan berpura-pura hendak melakukan pembayaran sebelum menyamun mangsa.

"Dalam kejadian itu, mangsa berusia 48 dan 61 tahun itu telah mengalami kerugian sebanyak RM7,800 apabila seutas rantai dan gelang emas dilarikan.

"Siasatan lanjut telah membawa kepada penahanan kedua-dua suspek dan polis juga merampas motosikal jenis Yamaha 125Z yang digunakan serta menemui semula barang kemas yang telah dijual di dua premis pajak gadai di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita sempena Op Bantu-program agihan bantuan kepada golongan memerlukan akibat Covid-19 di kawasan Selama, di sini pada Rabu.

Menurutnya, seorang daripada suspek yang berasal dari Pulau Pinang mengaku menggunakan lorong tikus untuk datang ke daerah ini untuk melakukan kegiatan samun bersama rakannya.

"Pemeriksaan mendapati, kedua-dua suspek yang ditahan mempunyai 29 dan 17 rekod lampau membabitkan kes samun, dadah, curi motosikal dan jenayah," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek turut mengaku melakukan kegiatan jenayah sama di beberapa daerah di Pulau Pinang dan Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Suspek telah diserahkan kepada polis Kedah bagi membantu siasatan kes di sana dan masih dalam tempoh reman," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sabri meminta mana-mana penduduk kampung yang terputus bekalan makanan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini agar segera berhubung terus dengan Bilik Gerakan IPD Selama ditalian 05-839 5999.

Katanya, sebanyak 300 kotak makanan telah tersedia untuk diagihkan kepada keluarga yang layak secara berperingkat di kawasan itu.

"Untuk program hari ini (Rabu), sebanyak 10 kotak makanan diserahkan kepada 10 keluarga asnaf yang telah dikenal pasti," katanya.