'Persidangan Parlimen patut diadakan selewatnya tiga hari lagi'

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik tindakan kerajaan yang mengumumkan persidangan Parlimen akan mula bersidang pada 26 Julai dan selama lima hari.

Sebaliknya, beliau berkata, persidangan Parlimen perlu diadakan selewat-lewatnya tiga hari lagi.

“Sebab itu, saya dan dan parti saya juga berpendapat kita perlu ada (persidangan) Parlimen dalam dua tiga hari lagi,” katanya ketika menjadi panel dalam program Reset Malaysia: Permasalahan dan Solusi yang disiarkan secara maya pada Rabu.

Turut menjadi panel adalah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tan Sri Rafidah Aziz dan ahli Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, manakala Ketua Pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut menyifatkan persidangan Parlimen pada masa ini adalah mendesak kerana ramai rakyat Malaysia telah meninggal dunia disebabkan Covid-19.

“Kita duduk menunggu tidak berbuat apa-apa. Saya duduk di rumah sudah sebulan tidak pergi mana. Kalau nak suruh saya pergi Parlimen, sekarang ini saya boleh pergi,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini di Parlimen juga tidak pernah ada jangkitan Covid-19 berlaku dan mereka yang menghadiri persidangan juga boleh berjaga-jaga.

“Kalau nak pergi kita periksa dulu. Ada penyakit atau tidak. Selepas itu masuk, itu semua boleh buat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Langkawi itu turut menyifatkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak berjalan dengan baik.

“Selama pelan itu dilancarkan, bilangan kes Covid-19 meningkat sampai 7,000 hingga 8,000. Tidak payah nak bagi lima hari konon untuk bagi penerangan.

“Sebaliknya kita nak bincang berkenaan apa yang perlu dilakukan oleh kita untuk mengatasi masalah yang mendesak ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau juga mahu mengusulkan satu badan khusus ditubuhkan bagi menangani Covid-19 yang dianggotai oleh pakar daripada pelbagai bidang.

“Kerana saya dapati kerajaan tidak mampu menangani Covid-19. Tiap kali dia berbuat sesuatu, angka (Covid-19) meningkat. Dia buat pilihan raya di Sabah, meningkat. Dia adakan darurat, meningkat.

“Dia isytihar pelan baru meningkat juga. Tiap-tiap kali kerajaan ini bawa cadangan kerajaan menjadi lebih buruk,” katanya.