Varian Delta makin mengganas

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

TIADA siapa menyangka varian Delta yang pertama kali dikenal pasti di negeri Maharashtra, barat India pada Oktober 2020 berupaya menyerang seluruh dunia sekali gus mencetuskan fasa baharu pandemik Covid-19 yang lebih berbahaya.

“Secara tiba-tiba ia menjadi versi dominan global pada tahun kedua wabak ini melanda dunia,” kata Ketua Institut Genomik dan Biologi Integratif di New Delhi, Anurag Agrawal.

Virus bermutasi yang pada asalnya digelar sebagai B.1.617.2 kini telah dilaporkan di hampir 100 negara termasuk Malaysia.

Ia dikhuatiri boleh mencetuskan gelombang jangkitan baharu yang lebih dahsyat walaupun di negara yang mencatatkan kadar vaksinasi paling tinggi.

Varian Delta juga didakwa kira-kira 40 hingga 60 peratus lebih mudah berjangkit, selain menyerang golongan lebih muda.

Di United Kingdom (UK), varian Delta menyumbang kepada lebih 90 peratus kes jangkitan keseluruhan sehingga mencetuskan lonjakan semula kes.

Varian Delta turut mengakibatkan peningkatan kes jangkitan di Rusia, Indonesia, Australia, Israel dan sekarang mengancam rantau Eropah yang sebahagian besar kes berpunca daripada virus tersebut.

Di Amerika Syarikat (AS), kes jangkitan melibatkan varian Delta terus menjadi ancaman terbesar sehingga menyebabkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS mengisytiharkan virus itu sebagai varian membimbangkan (VOC) pada 15 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut saintis, varian Delta mencetuskan risiko besar terutama kepada negara yang mempunyai akses terhad kepada vaksin seperti di Afrika yang kurang lima peratus populasinya divaksin.

Lonjakan

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kes jangkitan varian Delta telah direkodkan di 14 negara benua Afrika yang menyaksikan Afrika Selatan, Republik Demokratik Congo dan Uganda menyumbang sebahagian besar kes.

Lonjakan kes jangkitan varian Delta turut mencetuskan tanda tanya kepada penyelidik yang cuba untuk memahami faktor sebenar menyebabkan ia merebak dengan sangat cepat berbanding tiga virus bermutasi VOC lain iaitu Alpha (B.1.1.7), Beta (B.1.351) dan Gamma (P.1).

Penularan varian Delta juga mengundang perhatian baharu terhadap potensi SARS-CoV-2 berevolusi pada masa akan datang yang dibimbangi memburukkan lagi pandemik Covid-19 setelah virus bermutasi, Delta Plus pula dikenal pasti di India bulan lalu.

Ancaman yang semakin meningkat menyebabkan saintis mula mengkaji mengapa varian Delta begitu berbahaya terutama kepada individu yang belum divaksin selain mudah menyerang sel manusia.

Pakar penyakit berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Vanderbilt, AS, Dr William Schaffner berpendapat individu yang tidak divaksin membahayakan kesihatan mereka sendiri dan memberi risiko kepada orang sekeliling jika mereka dijangkiti Covid-19.

“Individu tidak mendapatkan vaksin berpotensi menjadi ‘kilang varian’. Apabila semakin ramai individu tidak divaksin, potensi virus bermutasi adalah lebih tinggi,” ujar beliau.

Ketika ini, kajian keberkesanan vaksin sedia ada turut dijalankan sebagai persediaan menghadapi gelombang jangkitan virus bermutasi.

Kajian terbaharu menunjukkan vaksin AstraZeneca dan Pfizer-BioNTech masih berkesan terhadap varian Delta dan Kappa (B.1.617.1).

Analisis oleh Jabatan Kesihatan Awam England bulan lalu juga mendapati vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca menawarkan perlindungan lebih 90 peratus kepada individu dijangkiti varian Delta yang mencegah mereka daripada dimasukkan ke hospital.

Terbaharu, komuniti antarabangsa kembali digemparkan dengan virus bermutasi lebih berbahaya daripada varian Delta yang didakwa telah dikenal pasti di lebih 30 negara.

Ketika ancaman varian Delta belum reda, kini muncul pula strain Lambda yang mencetuskan kebimbangan kepada pakar jika ia pula berupaya menjadi malapetaka baharu pada masa akan datang.

* Lissa Kamal ialah Wartawan Meja Global Sinar Harian