Sila log masuk terlebih dahulu.

Empat sekeluarga ditahan bersama 8.3kg dadah

Kamarul Zaman (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah bernilai hampir RM100,000 dalam dua serbuan berasingan di Kedah pada Isnin.
Kamarul Zaman (dua dari kanan) menunjukkan rampasan dadah bernilai hampir RM100,000 dalam dua serbuan berasingan di Kedah pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Empat sekeluarga ditahan bersama 8.3 kilogram (kg) dadah bernilai hampir RM100,000 dalam dua serbuan berasingan di Pinang Tunggal dan Padang Serai pada Isnin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, mereka yang ditahan ialah pasangan suami isteri, ibu mertua dan adik ipar perempuan berusia antara 14 hingga 48 tahun.

Menurutnya, tindakan suspek berusia 32 tahun yang mencurigakan ketika berada di atas motosikal di tepi jalan dekat Pinang Tunggal pada jam 2 petang Isnin menyebabkannya ditahan.

“Hasil pemeriksaan beg galas milik suspek menemui 14 paket dadah dipercayai jenis heroin yang dianggarkan seberat 6.362 kg,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, susulan tangkapan itu, satu serbuan dibuat di rumahnya di Taman Serai, Padang Serai, Kulim pada jam 4.05 petang hari sama dan menahan tiga suspek perempuan iaitu isterinya berusia 20 tahun, ibu mertua berusia 48 tahun dan adik ipar perempuan berusia 14 tahun.

“Dalam serbuan kedua, polis menjumpai satu beg pakaian berwarna hitam mengandungi lima paket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 1.946 kg dan satu peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu seberat 12.5 gram, serta peralatan membungkus dadah.

“Siasatan lanjut mendapati suspek aktif mengedar dadah kira-kira setahun lalu dengan memperoleh bekalan di dalam negeri ini.

"Dadah ini berkemungkinan untuk diedarkan di kawasan sekitar dengan nilai keseluruhan yang dirampas ialah RM94,960,” katanya.

Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM950, sebuah kereta jenis Proton Saga FL dan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego dengan jumlah keseluruhan sitaan sebanyak RM25,450.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 6 hingga 12 Julai bagi membantu siasatan,” jelasnya.