Dua beradik mengaku salah guna dokumen palsu dapatkan tender

Dua beradik dikenakan denda sebanyak RM18,000 dan RM24,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu. - Gambar hiasan
Dua beradik dikenakan denda sebanyak RM18,000 dan RM24,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua beradik dikenakan denda sebanyak RM18,000 dan RM24,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu pada Selasa.

Tertuduh, Sharifah Norhafizah Syed Abdul Hamid, 33, dan abangnya, Syed Hairul Nizam, 42, didakwa atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan ke asrama sekolah di Tawau.

Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan, kedua-dua tertuduh pada 24 November 2016 dengan niat bersama menggunakan penyata akaun bank bertarikh 31 Julai, 31 Ogos dan 30 September 2016 sebagai dokumen palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan ke asrama sebuah sekolah di Tawau bagi tempoh kontrak 1 April 2017 hingga 31 Mac 2019.

Kedua-dua tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM6,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap satu pertuduhan kepada Sharifah Norhafizah.

Syed Hairul Nizam turut dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM8,000 atau empat bulan penjara jika gagal bayar bagi setiap satu pertuduhan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Nartiah F Mirchelle Sambatan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Tetuan Azhier Arisin & Jaafar.

Artikel Berkaitan: