Dua anggota uniform ditahan disyaki terima rasuah RM18,000

Suspek ditahan SPRM di Kuching pada Khamis.
Suspek ditahan SPRM di Kuching pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua anggota beruniform kerana disyaki menerima wang suapan berjumlah kira-kira RM18,000 daripada pemilik sebuah syarikat.

Menurut sumber, mereka disyaki menerima rasuah daripada pihak syarikat yang mengendalikan kerja-kerja menyediakan kemudahan berkaitan elektrik dan bumbung di sebuah bangunan di Sarawak.

Sumber berkata, kedua-dua suspek lelaki yang berusia 30-an dan 50-an itu ditahan kira-kira jam 11 malam semalam di Pejabat SPRM Kuching ketika hadir memberi keterangan.

Menurutnya, kedua-dua suspek yang juga penjawat awam dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2022.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kedua-dua suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM, selepas kenyataan suspek direkodkan oleh pegawai SPRM.