Masyarakat orang asli manfaatkan PPV bergerak

Masyarakat orang asli menerima suntikan Vaksin pada Program Pemberian Vaksin Bergerak kepada komuniti Orang Asli daerah Sepang di Balairaya Kampung Sungai Buah, Jalan Sungai Buah Luar, Dengkil hari ini. -Foto Bernama
Masyarakat orang asli menerima suntikan Vaksin pada Program Pemberian Vaksin Bergerak kepada komuniti Orang Asli daerah Sepang di Balairaya Kampung Sungai Buah, Jalan Sungai Buah Luar, Dengkil hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

DENGKIL - Teruja untuk menerima vaksin Covid-19 mendorong ibu tunggal Sela@Paya Akaw membawa lima anaknya untuk bersama-sama mendapatkan vaksin itu di pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak untuk komuniti orang asli di Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Buah di sini.

Sela, 48, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan bersama-sama anaknya berusia antara 21 dan 28 tahun, hadir seawal pukul 9 pagi untuk mendapatkan vaksin jenis Sinovac di PPV bergerak itu.

"Saya gembira sebab bila dah cucuk (vaksin) ini kita dapat mengelak penyakit itu (Covid-19) dan saya rasa lebih yakin nak bekerja.

"Saya memang menggalakkan anak-anak untuk sama-sama ambil vaksin ini sebab saya tahu ia membawa kebaikan untuk kami," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin.

P Kumarasan, 47, yang hadir bersama isteri dan abang iparnya berkata, beliau amat berharap agar lebih ramai individu dalam komuniti orang asli mendapatkan vaksin.

"Kita rakyat ni kena ambil vaksin, jangan takut-takut, kena berani. Terima kasih kerajaan bagi kita vaksin," katanya yang telah berkahwin dengan isterinya dari masyarakat orang asli lebih 20 tahun.

Tok Batin Kampung Sungai Buah Juli Belat pula meluahkan rasa kecewanya kerana masih ramai masyarakat orang asli yang enggan menerima vaksin.

Beliau yang turut menjaga dua kampung iaitu Kampung Sungai Buah Dalam dan Kampung Bukit Tunggul berkata, daripada 231 individu yang mendapat temu janji vaksin, hanya 106 orang yang hadir.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada peringkat awal, kurang daripada 20 orang yang bersetuju untuk divaksin dan selebihnya memberikan alasan takut dan tidak faham kepentingan vaksin Covid-19.

Katanya, beliau berharap selepas ini ada wakil Kementerian Kesihatan yang boleh hadir ke perkampungan orang asli untuk memberi penerangan mengenai vaksin dan menjawab segala kemusykilan.

Sementara itu Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Sepang, Mohamed Rasaki Abdul Majid berkata, berdasarkan borang maklum balas pemberian vaksin yang diedarkan kepada masyarakat orang asli, masih ramai yang menolak vaksin kerana mereka belum memahami sepenuhnya kepentingan vaksin.

Katanya, berdasarkan rumusan borang pendaftaran vaksinasi, daripada 2,740 penduduk orang asli di daerah Sepang yang berusia 18 tahun ke atas yang layak menerima vaksin, hanya 879 orang menyatakan persetujuan manakala 1,861 lagi tidak bersetuju.

"Ini bermakna setakat ini 32.1 peratus sahaja bersetuju divaksin. Ia membabitkan 18 kampung orang asli di daerah Sepang," katanya serta menambah pihaknya akan menggiatkan usaha mengajak masyarakat orang asli menerima vaksin melalui pelbagai medium termasuk menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah yang turut membuat tinjauan vaksinasi itu berkata masyarakat orang asli boleh menerima vaksin mereka secara ‘walk-in' ke PPV bergerak dengan menggunakan pendaftaran manual.

"Program pemberian vaksin untuk masyarakat orang asli akan diteruskan dalam masa seminggu ini dengan menjelajah ke setiap perkampungan orang asli dalam daerah Sepang," katanya. - Bernama