Masjid perlu diimarah, bukan hak eksklusif mana-mana pihak-Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah diiringi Tunku Azizah berkenan menandatangani plak sempena Majlis Perasmian Masjid Kampung Teluk Gading, Kuala Rompin yang dimasyhurkan nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Foto FB Kesultanan Pahang
Al-Sultan Abdullah diiringi Tunku Azizah berkenan menandatangani plak sempena Majlis Perasmian Masjid Kampung Teluk Gading, Kuala Rompin yang dimasyhurkan nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Foto FB Kesultanan Pahang
A
A
A

KUANTAN- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan umat Islam bahawa masjid bukan sekadar mercu tanda sebaliknya jauh dari itu, ia jantung kehidupan ummah dan medan penyatuan hati-hati yang beriman.

Justeru, baginda bertitah menyeru kepada seluruh kariah agar menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat yang hidup, subur dan berdaya saing.

Titah baginda, masjid perlu diimarahkan dengan solat berjemaah yang istiqamah, majlis-majlis ilmu yang menyuburkan akal dan jiwa serta aktiviti kebajikan yang mengeratkan ukhwah.

“Janganlah kita biarkan masjid ini hanya tersergam indah pada rupanya, namun sunyi daripada pengisian rohani dan kehangatan persaudaraan,” titah baginda melalui hantaran di Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda bertitah demikian sempena Majlis Perasmian Masjid Kampung Teluk Gading, Kuala Rompin pada Jumaat.

Melalui hantaran itu, baginda turut mengingatkan umat Islam supaya tidak sesekali menjadikan masjid sebagai hak eksklusif mana-mana kelompok sehingga sebahagian masyarakat merasa terpinggir atau tidak didekati.

“Pastikan pengurusan masjid dilaksanakan dengan penuh amanah, telus dan berintegriti supaya masjid ini benar-benar menjadi payung kesejahteraan, perpaduan dan kesejahteraan ummah seluruhnya,” titah baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menyeru kepada seluruh umat Islam agar terus berpegang teguh kepada akidah yang berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW serta menjauhi segala bentuk ajaran sesat dan penyelewengan yang boleh merosakkan keimanan dan keharmonian negara.

Sementara itu, Kesultanan Pahang melalui hantaran berasingan berkongsi keberangkatan baginda memasyhurkan Masjid Kampung Teluk Gading, Kuala Rompin dengan nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Artikel Berkaitan:

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Menerusi titah perasmian, baginda menyeru penduduk Kampung Teluk Gading agar tidak membiarkan kubah masjid sekadar menjadi hiasan kaku dan bisu.

“Hidupkanlah rumah ALLAH ini dengan zikir yang menenangkan jiwa, majlis ilmu yang mencerahkan akal serta aktiviti yang mempereratkan ukhwah.

“Jadikanlah masjid ini bahtera iman yang membawa kita menuju pantai kedamaian, telaga rohani yang melepaskan dahaga jiwa serta paksi perpaduan yang menyatukan masyarakat dalam satu ikatan yang kukuh dan sejahtera,” titah baginda

Ringkasan AI

  • Sultan Pahang mengingatkan umat Islam bahawa masjid adalah jantung kehidupan ummah, bukan sekadar mercu tanda
  • Baginda menyeru kariah menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat yang subur dan berdaya saing
  • Masjid perlu diimarahkan dengan solat berjemaah, majlis ilmu, dan aktiviti kebajikan untuk mengeratkan ukhwah
  • Sultan Abdullah memperingatkan supaya masjid tidak dijadikan hak eksklusif mana-mana kelompok
  • Titah Sultan Pahang sempena perasmian Masjid Kampung Teluk Gading, Kuala Rompin yang dinamakan Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!