Jenazah lalu depan rumah, undang sebak ahli keluarga

Gambar tular yang memaparkan kenderaan yang membawa jenazah warga emas dan mengundang sebak ahli keluarga dan netizen
Gambar tular yang memaparkan kenderaan yang membawa jenazah warga emas dan mengundang sebak ahli keluarga dan netizen
A
A
A

BENTONG - Tindakan anggota polis Bentong memperlahankan kenderaan ketika mengiringi jenazah warga emas yang meninggal dunia akibat Covid-19 turut mengundang sebak netizen selain ahli keluarga selepas video itu tular di laman sosial pada Ahad.

Video berdurasi 59 saat yang dimuatnaik oleh seorang pengguna Facebook menggunakan nama Siti Norsiah Osman yang juga anak saudara kepada mangsa mendapat 4,047 tanda suka, 1,323 komen dan 3,546 perkongsian sehingga jam 5.30 petang Isnin selain meraih lebih 3 juta paparan setelah dimuatnaik di Facebook, Pahangku Media.

Dalam video tersebut, petugas barisan hadapan yang membawa jenazah itu membuat pengumuman memohon maaf dalam nada sebak kerana tidak dapat singgah dan menyatakan akan terus menghantar jenazah ke tempat persinggahan terakhirnya sebelum meminta orang ramai sedekahkan al-Fatihah.

Lokasi kejadian di hadapan rumah keluarga mangsa di Janda Baik dan dipercayai anak warga emas tersebut menggunakan nama pengguna Norasma Tahir memuatnaik status mereka sempat melakukan panggilan video terakhir pada jam 9.30 pagi pada Jumaat sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.29 pagi pada usia 86 tahun di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar memuji tindakan anak-anak buahnya yang memperlihatkan sifat empati dimiliki anggota terbabit.

Ujarnya, pasukan peronda (MPV) yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Mustafa bersama dua anggota mengiringi petugas hospital yang membawa jenazah itu untuk dikebumikan.

"Ini membuktikan anggota yang terlibat peka dengan situasi yang berlaku dan sikap mereka wajar dipuji.

"Disebabkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah Covid-19 yang ketat, kenderaan itu tidak boleh singgah di rumah mangsa terbabit dan perlu dibawa terus ke tanah perkuburan," jelasnya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Namun beliau memberitahu, atas dasar simpati, kenderaan itu diperlahankan ketika tiba di hadapan rumah mangsa untuk memberikan peluang kepada waris untuk berdoa serta penghormatan terakhir.