Polis panggil wanita dakwa kilang punca peningkatan kes Covid-19 di Selangor

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil seorang wanita bagi memberi keterangan berhubung kenyataannya di dalam satu rakaman video kini tular di media yang mendakwa bahawa peningkatan kes Covid-19 di Selangor berpunca daripada pekerja kilang sarung tangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ini kerana perbuatan individu dalam video itu mendatangkan ketakutan kepada masyarakat, apabila wanita itu mendakwa penularan wabak di Selangor berpunca daripada tindakan pengusaha kilang berkenaan yang tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam menguruskan pekerjanya.

Beliau berkata, video berdurasi tiga minit empat saat yang tular di aplikasi Tik Tok itu memaparkan dakwaan wanita berkenaan yang memperkenalkan dirinya sebagai Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Selangor.

"(Wanita itu) mendakwa peningkatan kes wabak itu disebabkan tindakan pengusaha kilang sarung tangan yang memindahkan pekerjanya yang positif daripada asrama pekerja di Petaling Jaya ke dua hotel di Klang bagi membolehkan mereka hadir bekerja dalam tempoh PKPD,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya, wanita itu juga mendakwa terdapat kes kematian akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja kilang sarung tangan itu hingga menyebabkan seluruh asrama pekerja di kawasan Sungai Way di daerah Petaling Jaya dikenakan tindakan PKPD, namun kilang itu masih beroperasi sepenuhnya.

Mohamad Fakhrudin berkata, selain itu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara turut membuka kertas siasatan terhadap pengusaha kilang itu di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit berjangkit kepada nyawa.

Jelasnya, kes juga disiasat di bawah Seksyen 22(b) Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi perintah sah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

"Siasatan terhadap individu di dalam video yang tular itu pula (dilakukan) di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebarkan satu kenyataan yang mendatangkan khianat awam menyebabkan ketakutan kepada orang awam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menasihati orang ramai supaya lebih peka dan prihatin sebelum menyebarkan apa-apa maklumat dan berhubung dengan pihak berwajib sekiranya mempunyai maklumat, dan bukannya menyebarkan melalui media sosial. - Bernama