PPVIN PICC mula beroperasi esok

Petugas mula memasuki PPVIN di PICC hari ini bagi melakukan persiapan akhir untuk menerima 376 pekerja industri yang berdaftar di bawah MITI. - Foto Bernama
Petugas mula memasuki PPVIN di PICC hari ini bagi melakukan persiapan akhir untuk menerima 376 pekerja industri yang berdaftar di bawah MITI. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pusat pemberian vaksin industri (PPVIN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) akan memulakan operasi dengan pemberian vaksin Covid-19 kepada 370 pekerja industri pada Isnin.

PPVIN PICC yang diuruskan oleh International SOS (Malaysia) Sdn Bhd itu adalah sebahagian daripada inisiatif Program lmunisasi lndustri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dan ia mempunyai keupayaan untuk mevaksin sehingga 1,500 pekerja industri sehari dalam persekitaran yang lebih teratur dan selesa.

Ketua Operasi Penganjur Rawatan Kesihatan International SOS (Malaysia), Dr Adrian Seng Fook Wai berkata, PPVIN akan melaksanakan proses vaksinasi yang melibatkan pekerja industri dari syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

"MITI akan memutuskan syarikat mana yang layak, kemudian mereka akan menghantar senarai itu kepada kami, dan kami akan melaksanakan proses vaksinasi bagi syarikat berkenaan,” katanya kepada Bernama di sini pada Ahad.

Beliau berkata, vaksin Sinovac akan diberikan kepada penerima di PPVIN dan proses vaksinasi tiap seorang pekerja akan mengambil masa kira-kira 30 minit.

Bagi mengelak kesesakan di PPVIN, beliau berkata, hanya 20 hingga 30 orang akan dibenarkan untuk datang ke pusat itu dalam satu masa.

"Kami akan pastikan semua langkah penjarakan sosial dilaksanakan dan akan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

PPVIN yang beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 9 malam itu turut menyediakan pasukan perubatan serta ambulans, dan jika ada sebarang kecemasan, mereka yang terlibat akan dihantar ke Hospital Putrajaya dengan segera.

Artikel Berkaitan:

Di bawah program PIKAS kerajaan akan menyediakan vaksin percuma, namun kos pentadbiran vaksin yang merangkumi penyediaan PPVIN akan ditanggung oleh majikan, dan majikan dilarang memindahkan kos pentadbiran itu kepada pekerja menerusi potongan gaji mereka.

International SOS (Malaysia) merupakan rakan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia yang dibangunkan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM).

ProtectHealth dilantik sebagai pelaksana penyertaan pengamal perubatan swasta dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). - Bernama