X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

'Tidak pernah lulus nikah secara dalam talian'

Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat di Thailand menafikan terlibat menjalankan majlis akad nikah secara dalam talian membabitkan seorang ahli politik Malaysia bergelar 'Datuk' dengan isteri ketiganya. -Foto Facebook Majlis Agama Islam Wilayah Pattani
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat di Thailand menafikan terlibat menjalankan majlis akad nikah secara dalam talian membabitkan seorang ahli politik Malaysia bergelar 'Datuk' dengan isteri ketiganya.

Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat berkata, pihak majlis agama Islam itu tidak pernah meluluskan akad nikah secara dalam talian untuk digunakan para imam di wilayah berkenaan setakat ini.

"Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat telah menerima laporan tidak rasmi seorang ahli politik Malaysia yang berasal dari Kelantan berkahwin dengan pasangannya seorang rakyat Malaysia.

"Kami diberitahu bahawa pasangan itu telah menggunakan khidmat imam dari Masjid Sungai Golok dan perbualan antara pengantin perempuan dan imam diadakan melalui video.

"Saya ingin menegaskan di sini bahawa pihak majlis tidak pernah membenarkan akad nikah dalam talian walaupun kita sekarang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan dan larangan merentasi sempadan.

"Kami juga tidak pernah mengeluarkan surat nikah kepada pasangan itu," katanya seperti dilaporkan kepada New Straits Times pada Ahad.

Sehubungan itu, Abdul Aziz berkata, majlis akad nikah berkenaan akan disiasat dengan teliti termasuk memanggil imam yang terlibat dalam majlis akad nikah itu untuk disoal siasat.

Difahamkan, imam berusia 50-an terbabit telah bertugas di sebuah masjid di wilayah Sungai Golok selama lebih daripada dua tahun.

Perkahwinan antara ahli politik Kelantan yang merupakan timbalan menteri dengan pengantin perempuan itu didakwa dilakukan pada 1 Jun sebelum ia menjadi viral di platform media sosial.

Gambar sijil perkahwinan pasangan itu serta perbincangan antara ahli politik dan imam dengan dua lelaki lain yang dipercayai saksi juga diedarkan secara meluas.

Pengantin perempuan terbabit dipercayai berasal dari Selangor dan menjadi isteri ketiga ahli Parlimen itu.

Sementara itu, ahli politik itu dalam jawapan ringkas WhatsApp kepada NST, hanya berkata, "Doakan saja saya,"


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!