Tetak gelandangan sampai mati

Mayat mangsa seorang lelaki tempatan ditemui dengan kesan tetak di kawasan semak berhampiran sebuah sekolah di Kota Damansara, Petaling Jaya pada Sabtu.
Mayat mangsa seorang lelaki tempatan ditemui dengan kesan tetak di kawasan semak berhampiran sebuah sekolah di Kota Damansara, Petaling Jaya pada Sabtu.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga asing diberkas selepas dipercayai membunuh seorang lelaki warga tempatan dalam kejadian di kawasan semak berhampiran sebuah sekolah di Kota Damansara di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Fakhrudin Abdul Hamid berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada orang awam kira-kira jam 2.50 petang selepas melihat jirannya iaitu suspek pulang ke rumah dalam keadaan berlumuran darah.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat, polis telah menuju ke rumah berkenaan untuk berjumpa dengan warga asing terbabit.

"Lelaki warga asing berusia 40 tahun yang mengalami kecederaan di muka dan tangan itu mendakwa telah bergaduh dengan seorang lelaki tempatan sebelum membawa penemuan mayat mangsa di kawasan semak berdekatan sebuah sekolah.

"Mangsa ditemui dengan kesan tetakan di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Fakhrudin berkata, susulan itu dengan dipandu arah oleh suspek, polis menemui sebilah sabit dipercayai digunakan untuk menetak mangsa.

"Siasatan lanjut mendapati mangsa yang mempunyai satu rekod kes curi kenderaan adalah gelandangan yang tinggal di pondok di kawasan semak terbabit.

"Suspek pula didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Siti Noridah Md Ayob di talian 019-6979891.