Margma rayu kilang sarung tangan dibenar terus beroperasi

Margma merayu kepada kerajaan bagi membolehkan kilang-kilang sarung tangan untuk terus beroperasi berikutan sarung tangan penting dalam memerangi penularan Covid-19 dan jangkitan lain semasa musim pandemik ini. -Gambar hiasan
Margma merayu kepada kerajaan bagi membolehkan kilang-kilang sarung tangan untuk terus beroperasi berikutan sarung tangan penting dalam memerangi penularan Covid-19 dan jangkitan lain semasa musim pandemik ini. -Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) merayu kepada kerajaan bagi membolehkan kilang-kilang sarung tangan untuk terus beroperasi berikutan sarung tangan penting dalam memerangi penularan Covid-19 dan jangkitan lain semasa musim pandemik ini.

Presiden Margma Dr Supramaniam Shanmugam berkata, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), pelanggan global telah menyatakan kebimbangan mengenai kekurangan pengeluaran dan penghantaran sarung tangan kepada mereka.

“Ahli kami berada di bawah tekanan yang luar biasa daripada hospital global dan pekerja penjagaan kesihatan berikutan pandemik kini telah berkembang kepada varian lain.

“Terdapat kebimbangan dalam sektor penjagaan kesihatan global apabila menteri kita mengumumkan kemungkinan penutupan industri sarung tangan berikutan sarung tangan perubatan amat diperlukan untuk melindungi petugas barisan hadapan dan kakitangan hospital,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ahli Margma secara kolektif menghasilkan dan mengeksport sarung tangan ke 195 buah negara di seluruh dunia dan pengeluar Malaysia memainkan peranan penting dalam tindak balas kemanusiaan sebagai pengeluar sarung tangan terbesar, membekalkan 67 peratus daripada penggunaan global.

Supramaniam menjelaskan PKPD akan menjejaskan situasi bekalan dan persatuan meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan segera untuk bekerjasama mengatasi kebimbangan semua pihak yang terlibat.

“Kami meminta untuk mengadakan pertemuan dengan MITI untuk menyelesaikan isu berhubung penguatkuasaan PKPD berikutan 58 peratus daripada semua sarung tangan yang dihasilkan di Malaysia adalah daripada pengeluar sarung tangan yang terletak di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, permintaan global untuk sarung tangan amat tinggi untuk sektor penjagaan kesihatan dan ahli Margma telah diminta untuk memberi lebih perhatian membantu membekalkan ke negara-negara yang teruk dilanda pandemik termasuk India, Pakistan, Bangladesh dan negara-negara Amerika Selatan yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Dalam Eropah dan Amerika menuju ke arah fasa pemulihan, ahli-ahli bersedia untuk memenuhi permintaan sektor bukan penjagaan kesihatan seperti pengendalian makanan, perindustrian, makmal bilik bersih dan dermatologi,” katanya.

Permintaan global terhadap sarung tangan pada 2021 dijangka kekal sebanyak 420 bilion unit dengan 13,318 unit digunakan setiap saat di seluruh dunia.

Pertumbuhan permintaan untuk sarung tangan dijangka antara 15 peratus dan 20 peratus pada tahun depan.

Beliau juga berkata ahli Margma bersetuju untuk memvaksinasi semua pekerja dengan kos syarikat sendiri dan semua pekerja sarung tangan selain didaftarkan untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di MySejahtera, turut didaftarkan dengan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS), Program Vaksinasi Covid-19 Negeri Selangor dan Program Vaksinasi untuk Sektor Agrikomoditi.

“Kami turut merayu kepada kerajaan untuk menyediakan kit ujian Covid-19 menggunakan sampel air liur secepat mungkin yang akan meningkatkan kekerapan saringan pekerja. Pengeluar kami juga bersetuju untuk menanggung semua kos kit ujian ini,” katanya. - Bernama