Wanita dibebas, penahanan berkaitan kes dadah tidak sah

Azhier Farhan
Azhier Farhan
A
A
A

SANDAKAN - Seorang wanita yang ditahan selama empat bulan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (LLPK) dibebaskan serta-merta selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, membenarkan permohonan habeas corpus yang difailkannya.

Permohonan itu dikemukakan menerusi peguamnya, Mohd Azhier Farhan Arisin.

Hakim Saiful Azian Mokhtar memutuskan penahanan Jassicka Lai Jin Fui, 34, adalah tidak sah selepas mendapati pihak responden gagal meyakinkan mahkamah bahawa prosedur yang ditetapkan di bawah akta berkenaan telah dipatuhi.

Antara alasan utama keputusan itu ialah Jassicka didapati berada dalam tahanan polis selama kira-kira 32 jam 20 minit sebelum peruntukan LLPK digunakan terhadapnya, tanpa dibawa ke hadapan Majistret dalam tempoh 24 jam.

Dalam hujahan Mohd Azhier Farhan, anak guamnya ditangkap kira-kira jam 8 pagi pada 5 Julai di bawah undang-undang jenayah biasa, manakala tangkapan di bawah Seksyen 3(1) LLPK hanya dibuat kira-kira jam 4.20 petang keesokan harinya.

Sepanjang tempoh berkenaan, Jassicka tidak pernah dibebaskan atau dibawa ke hadapan Majistret seperti yang dikehendaki Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 28 dan 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, Peguam Kanan Persekutuan, Ruvinasini Pandian yang mewakili Ketua Polis Daerah Sandakan, Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri selaku responden berhujah tempoh itu tidak relevan kerana tangkapan pada 5 Julai merupakan tangkapan berasingan.

Hakim dalam penghakimannya berkata, mahkamah kecewa dengan jawapan berkenaan kerana ia menunjukkan responden seolah-olah mengabaikan kebebasan pemohon sepanjang tempoh 32 jam itu, tanpa memberikan penjelasan mengapa dia tidak dibawa ke hadapan Majistret atau sama ada terdapat perintah reman dikeluarkan.

Beliau berkata, proses penahanan perlu dinilai secara keseluruhan kerana setiap peringkat saling berkait dan atas alasan itu sahaja, permohonan habeas corpus berkenaan wajar dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mahkamah turut mengenal pasti dua ketidakaturan dalam rakaman pernyataan Jassicka di bawah Seksyen 4 LLPK, iaitu penggunaan jurubahasa yang bukan pihak bebas serta bahasa yang tidak betul.

Mahkamah juga mendapati siasatan oleh Pegawai Siasatan di bawah Seksyen 5 LLPK mempunyai kecacatan dan melanggar prinsip keadilan asasi.

Sementara itu, Mohd Azhier Farhan ketika dihubungi berkata, keputusan tersebut menegaskan bahawa kuasa penahanan pencegahan, walaupun luas, tetap tertakluk kepada pematuhan prosedur yang ketat.

“Akta ini membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara. Kerana itulah setiap langkah prosedur, dari saat tangkapan hinggalah siasatan, mesti dipatuhi dengan ketat.

"Hak kebebasan diri yang dijamin Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diketepikan, walaupun untuk tempoh yang singkat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menghormati hak responden untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!