Dua pesara tentera didakwa palsukan dokumen tender MINDEF babit kerugian RM1.28 juta.

KUALA LUMPUR - Dua pesara tentera mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu dan memalsukan dokumen pesanan kerajaan berhubung tawaran kontrak serta tender Kementerian Pertahanan (MINDEF) berhubung projek mengecat 85 kenderaan berperisai serta pembekalan peralatan membabitkan kerugian bernilai RM1.28 juta.
Mejar (B) Rosle Mat Isa, 54, dan bekas pegawai waran, Muhammad Syazwan Steve Abdullah, 45, membuat pengakuan itu selepas enam pertuduhan yang dihadapi mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad, Rosli Ahmad dan Azrul Darus.
Di hadapan Muhammad Ilmami, mereka didakwa bersama-sama menipu Pak Chee Hwa, 59, untuk mempercayai bahawa tawaran projek mengecat 85 kenderaan berperisai melalui pesanan kerajaan bernilai RM400,000 adalah tulen, sedangkan tawaran itu palsu sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM200,000 kepada Muhammad Syazwan Steve sebagai modal untuk projek tersebut.
Kedua-dua lelaki itu didakwa bersama-sama memalsukan dokumen pesanan kerajaan bagi projek yang sama untuk digunakan bagi maksud menipu Pak dalam urusan tawaran projek berkenaan.
Di hadapan Rosli, mereka didakwa bersama-sama menipu Bahari Tahir, 78, yang mempercayai tawaran kontrak MINDEF iaitu pembekalan cat bagi 85 kenderaan berperisai, pembekalan peralatan dewan dan pembekalan peralatan khemah adalah tulen, sedangkan tawaran itu palsu sehingga mendorong Bahari menyerahkan wang berjumlah RM780,000 kepada kedua-dua tertuduh.
Rosle dan Muhammad Syazwan Steve didakwa bersama-sama memalsukan dokumen pesanan kerajaan dalam urusan tawaran kontrak sama yang digunakan bagi maksud menipu Bahari dalam urusan tersebut.
Di hadapan Azrul, mereka didakwa bersama-sama menipu Borhan Mohd Doya, 55, untuk mempercayai tawaran tender MINDEF bagi pembekalan peralatan dan kerja-kerja persiapan majlis di Kem Perdana Sungai Besi, melalui pesanan kerajaan bernilai keseluruhan RM565,050 adalah tulen, namun tawaran itu palsu yang mendorong Borhan menyerahkan wang tunai RM300,000 kepada Rosle melalui dua transaksi, sebagai modal tender berkenaan.
Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama memalsukan dokumen pesanan kerajaan dalam urusan tawaran kontrak sama yang digunakan bagi maksud menipu Borhan dalam urusan tersebut.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di Pejabat Kuartermaster Marks Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini pada April 2019 dan 22 Ogos 2019.
Pertuduhan menipu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau sebatan dan denda manakala kesalahan memalsukan dokumen di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman, Batrisyia Mohd Khusri, Izzat Amir Idham, masing-masing menawarkan jaminan RM60,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira jumlah kerugian yang besar dalam kes tersebut.
Peguam Lee Soo Bang dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Muhammad Syazwan Steve memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya merupakan pesara tentera yang menanggung keluarga serta empat anak berusia 11 hingga 19 tahun.
"Anak guam saya kini bekerja sebagai peniaga dengan pendapatan RM2,000 sebulan, dia juga menjaga ibunya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, selain tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.
Sementara itu, Rosle yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan rendah kerana mempunyai enam anak selain tidak bekerja dan mempunyai seorang isteri menghidap penyakit kencing manis dan kanser payudara.
"Saya mempunyai dua anak Orang Kurang Upaya (OKU) autistik serta dua anak yang masih belajar di universiti. Saya juga tidak melarikan diri kerana sentiasa memberikan kerjasama," katanya.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin berjumlah RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 18 Dis untuk sebutan kes.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
