Pekerja Indonesia terima bantuan makanan

Taufan (kanan) bersama sebahagian pekerja Indonesia yang menerima bantuan makanan yang disediakan KJRI yang diagihkan Permai.
Taufan (kanan) bersama sebahagian pekerja Indonesia yang menerima bantuan makanan yang disediakan KJRI yang diagihkan Permai.
A
A
A

KUANTAN - Warga Indonesia yang bekerja sendiri termasuk tukang rumah antara yang terjejas teruk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Rata-rata mereka tidak dapat bekerja sejak beberapa bulan lalu hingga ada yang hidup terhimpit dan terputus bekalan makanan.

Pengerusi Perkumpulan Masyarakat Indonesia (Permai) Pahang, Taufan Nasrudin berkata, golongan itu akur dengan peraturan ditetapkan kerajaan negara ini dan mereka tidak meneruskan kerja terutama yang terlibat dalam sektor yang tidak dibenarkan bagi mengelak tindakan undang-undang.

Menurutnya, ramai yang hilang sumber pendapatan dan terpaksa bergantung ihsan rakan-rakan senegara yang masih berkemampuan untuk mendapatkan makanan.

"Sekiranya sekatan ini berterusan, ramai lagi yang akan sengsara lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai keluarga," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Taufan berkata, Permai sendiri mengambil inisiatif membantu warga Indonesia yang terkesan setakat mampu.

"Selain bantuan daripada dana Permai sendiri, kita juga memohon bantuan daripada Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru baru-baru ini.

"Alhamdulillah kita menerima 700 bungkusan makanan dan selesai diagihkan kepada warga Indonesia yang memerlukan dengan kebenaran pihak berkuasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ramai warga Indonesia berada di negeri ini yang bekerja dalam pelbagai sektor termasuk pembinaan dan perladangan.

"Kita tidak mampu untuk membantu semua. Tidak dinafikan pekerja Indonesia dalam sektor pembinaan turut terjejas namun sekurang-kurangnya mereka mempunyai majikan yang mana ada juga bantuan dihulurkan dalam keadaan sukar ketika ini," katanya.

Tambah beliau, hasil kunjungannya ke rumah-rumah kongsi pekerja mendapati ramai yang turut terputus bekalan makanan dan hanya ada beras untuk tempoh seminggu sahaja.

"Ada yang mendakwa bantuan dihulurkan majikan tidak mencukupi kerana bilangan mereka agak ramai.

"Kita faham situasi sukar yang mungkin dihadapi sesetengah majikan di mana mereka juga terjejas dan tidak mampu untuk menyediakan keperluan pekerja mereka sepenuhnya," katanya.

Bagaimanapun katanya, majikan diharap tidak lepas tangan dan perlu menjaga kebajikan pekerja masing-masing dalam tempoh sukar ini.

"Setakat ini, pekerja Indonesia dalam sektor perladangan tidak menghadapi masalah kerana mereka masih boleh bekerja seperti biasa.

"Bagaimanapun sebagai pimpinan komuniti Indonesia di negeri ini, saya sentiasa ambil tahu keadaan mereka dan jika ada masalah kita akan bantu setakat termampu," katanya.

Tambahnya, sekatan yang dikenakan terhadap beberapa sektor itu diharap tidak berterusan dan akan dibuka kembali secepat mungkin supaya semua pekerja termasuk dalam kalangan warga Indonesia yang terjejas dapat bekerja kembali.

"Sebagai rakyat Indonesia yang mencari rezeki di negara ini, kita akur dengan undang-undang dan peraturan ditetapkan kerajaan Malaysia namun pada masa sama mengharapkan agar nasib golongan itu tidak diabaikan," katanya.