Dua GRO terjun kondominium elak ditahan Imigresen

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Dua pelayan pelanggan (GRO) warga Vietnam cedera ketika cuba meloloskan diri dengan terjun dari tingkat satu sebuah kondominium di Gunung Rapat di sini pada Khamis.

Wanita berusia 28 dan 31 tahun itu bertindak demikian bagi mengelak ditahan pihak berkuasa dalam serbuan Op Patuh yang dijalankan 20 pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Perak.

Pengarah Imigresen Perak, Hapdzan Husaini berkata, mangsa bagaimanapun dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, siasatan mendapati kediaman yang disewa mereka menjadi tumpuan pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan seks.

"Menyedari kehadiran pegawai operasi kira-kira jam 11.30 pagi itu, tiga wanita ini cuba melarikan diri dengan terjun melalui tingkap dari tingkat satu rumah berkenaan.

"Dua daripada mereka mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan. Kecekapan pegawai penguat kuasa berjaya menahan kesemua wanita terbabit daripada meloloskan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati suspek menggunakan aplikasi MiChat, WeChat dan WhatsApp untuk berhubung dengan pelanggan.

"Pelanggan akan membuat janji temu terlebih dahulu melalui aplikasi berkenaan sebelum ke kondominium tersebut pada kadar bayaran sebanyak RM250 sejam.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan berjaya menemukan kondom dan minyak urut yang disyaki digunakan untuk kegiatan itu," katanya.

Hapdzan berkata, tiga wanita itu antara 23 individu yang ditahan dalam serbuan yang berlangsung selama 14 jam di 16 lokasi sekitar ibu negeri itu.

"Serbuan dilakukan di pasar borong, premis kediaman dan kondominium, restoran serta kedai serbaneka.

"Mereka yang ditahan melibatkan 20 wanita warga Indonesia dan Vietnam serta tiga lelaki warga Bangladesh dan Myanmar berusia 24 hingga 50 tahun," katanya.

Katanya, kesemua mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/ 63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah, tinggal lebih masa.

"Mereka ditahan untuk siasatan dan tindakan lanjut. JIM Perak akan sentiasa meningkatkan pemantauan dan operasi secara berterusan dengan mematuhi prosuder operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat dan melaporkan aduan agar tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut saluran yang betul," katanya.