X

Kindly register in order to view this article
!

PPV pandu lalu pertama di Jempol

Mohd Salim (dua dari kiri) melihat jururawat memberi suntikan vaksin kepada seorang lelaki warga emas yang menunggang motosikal di PPV pandu lalu di Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol pada Jumaat.
A
A

JEMPOL - Pemberian suntikan vaksin Covid-19 secara pandu lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol, dekat sini adalah sebahagian usaha mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Penyelaras PPV Daerah Jempol, Dr Ismul Adham Zaini berkata, inisiatif yang pertama kali dilakukan di daerah itu dapat memudahkan penerima vaksin terutamanya warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

"Pemberian vaksin secara pandu lalu ini kita cuba fokuskan untuk janji temu dos kedua yang telah dimulakan semalam (Khamis).

"Kira-kira 170 hingga 200 orang telah selesai menerima suntikan dos kedua vaksin dalam tempoh tiga jam.

"Konsep pandu lalu ini dilihat mampu mengurangkan kesesakan di dewan PPV selain memudahkan golongan yang mempunyai masalah kesihatan dan berkerusi, mereka tidak perlu turun dari kereta dan menunggu lama," katanya ketika ditemui di PPV pandu lalu di Dewan Pejabat Daerah Jempol, Bandar Seri Jempol, di sini pada Jumaat.

Menurut Dr Ismul Adham, pihaknya akan membuat permohonan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan agar konsep PPV pandu lalu diteruskan dengan memberi fokus suntikan dos kedua.

Sementara itu Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, pemberian vaksin secara pandu lalu yang pertama di daerah itu membolehkan masyarakat menerima vaksin dengan cepat, selamat dan jauh daripada risiko jangkitan.

Mohd Salim yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata, pihaknya akan memperluaskan program vaksin bergerak ke kawasan pekebun kecil di pedalaman dan luar bandar antaranya Cameron Highlands dan negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

"Selain itu, kita akan masuk ke kawasan Felcra dengan menggerakkan aset RISDA untuk membawa warga emas atau golongan yang tidak berkemampuan dan tidak mempunyai pengangkutan untuk ke PPV yang telah ditetapkan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!