Sila log masuk terlebih dahulu.

Polis Kedah buru sindiket ah long

Kamarul Zaman (kiri) bersama Mohd Roze menanggalkan poster ah long yang dipasang sindiket itu di tepi jalan raya.
Kamarul Zaman (kiri) bersama Mohd Roze menanggalkan poster ah long yang dipasang sindiket itu di tepi jalan raya.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis Kedah memburu pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long termasuk pengutip hutang yang bertindak agresif terhadap peminjam dan keluarga serta merosakkan harta benda peminjam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pemilik nombor telefon tertera pada gegantung yang dipasang ah long di sekitar negeri ini selain menamatkan talian berkenaan.

Menurutnya, individu yang bekerja dengan ah long turut diburu, antaranya pemilik-pemilik akaun bank yang bersekongkol dengan memberikan akaun bank mereka untuk digunakan sindiket berkenaan.

“Polis Kedah melancarkan Ops Vulture bermula hari ini sehingga 31 Julai untuk membanteras kegiatan ah long secara serentak di seluruh daerah negeri ini.

"Bbermula dengan menurunkan poster dan gegantung berkaitan ah long, seterusnya mengesan dan menangkap ahli sindiket itu yang menawarkan pinjaman mudah di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ops Vulture di kawasan perumahan di Alor Mengkudu pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari.

Operasi selama dua jam itu berjaya menurunkan lebih 600 gegantung dan poster berkaitan ah long di sekitar kawasan perumahan terbabit.

Kamarul Zaman berkata, bermula Januari 2019 sehingga Mei tahun ini, sebanyak 94 kertas siasatan dibuka berkaitan pemberi pinjaman wang tanpa lesen di Kedah.

Artikel Berkaitan:

“Ia melibatkan 81 tangkapan, di mana 54 kes telah selesai manakala 40 kes lagi masih dalam siasatan. Pada tahun lalu, dua orang telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) kerana terlibat dalam kegiatan pemberi pinjaman wang tanpa lesen,” katanya.

Kamarul Zaman (dua, kanan) melihat timbunan gegantung dan poster berkaitan ah long yang diturunkan dari kawasan perumahan sekitar Alor Mengkudu pada Khamis.
Kamarul Zaman (dua, kanan) melihat timbunan gegantung dan poster berkaitan ah long yang diturunkan dari kawasan perumahan sekitar Alor Mengkudu pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk tahun ini, sebanyak 14 kertas siasatan dibuka, satu kes telah selesai manakala selebihnya masih dalam siasatan bawah Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 (Akta 400).

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kes berkaitan ah long meningkat dan kebanyakan kes melibatkan pinjaman yang ditipu tanpa disedari, contohnya pinjam RM5,000 terpaksa bayar balik RM10,000. Kelulusan mudah mahu pinjam sedikit tapi akhirnya wang sendiri tergadai,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, selain ah long, ada pihak menggunakan media sosial untuk menipu orang ramai dengan menyamar sebagai platform membeli barangan dan apabila menekan rangkaian diberikan, pelanggan akan dibawa ke paparan penipuan tersebut.

“Taktik lain termasuk sindiket yang menyamar sebagai rakan atau pegawai penguatkuasa untuk meminjam wang. Terdapat 20 kes seumpamanya di Kedah, dengan menggunakan gambar rakan untuk pinjam wang antara RM200 hingga RM1,000. Keseluruhan kerugian tidaklah banyak namun sekiranya ramai mangsa terpedaya, banyaklah yang diperolehi suspek,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya dengan janji manis pemberi pinjaman wang tanpa lesen dan disaran membuat pinjaman melalui institusi kewangan berlesen.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak bersekongkol dengan kegiatan ah long dengan memberi akaun bank mereka untuk kegunaan sindiket itu kerana ia juga merupakan satu kesalahan dan boleh dihukum.

"Kami beri amaran kepada sindiket ah long untuk hentikan segera kegiatan mereka kerana polis akan terus memburu mereka sehingga terhapusnya aktiviti itu di negeri ini,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat termasuk aktiviti pemasangan poster terbabit kepada mana-mana balai polis terdekat atau Bilik Gerakan IPK Kedah di talian 04-7741403.