Isyarat kecemasan mohon bantuan

Gambar hiasan Foto 123RF.
Gambar kecil dari kiri: Nik Nazmi, Ahmad Fadhli, Rizam
Gambar hiasan Foto 123RF. Gambar kecil dari kiri: Nik Nazmi, Ahmad Fadhli, Rizam
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli politik kerajaan dan pembangkang menyifatkan kempen #BenderaPutih yang dijalankan di media sosial merupakan satu ikhtiar bagi menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kempen terbabit merupakan satu cara bagi mereka yang berasa segan untuk menghantar mesej mendapatkan bantuan.

“Saya di media sosial (ada menulis) sekiranya sesiapa yang ada ternampak penduduk Parlimen Setiawangsa meletakkan bendera putih boleh maklumkan kepada saya untuk kita usahakan bantuan.

“Kita tahu keadaan ekonomi rakyat cukup dahsyat, dikejutkan dengan kebelakangan ini dengan kes-kes bunuh diri. Bagi saya ini satu ikhtiar untuk mendapat dan menyalurkan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Nik Nazmi menambah, jika dahulu, mereka yang memerlukan bantuan hanya tertumpu kepada kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau kawasan perumahan awam namun pada hari ini individu yang tinggal di rumah sederhana seperti kondomium juga telah terkesan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berpendapat, menjadi hak individu berkenaan untuk mengibarkan bendera putih kerana ia merupakan satu isyarat kecemasan.

“Mereka sudah tidak ada cara untuk mohon bantuan. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya prihatin terhadap tanda kecemasan seperti ini.

“Sekiranya ada bendera putih itu berkibar menandakan bahawa ada yang tidak kena dalam penyampaian bantuan yang kita lakukan selama ini dan kena berbuat sesuatu supaya bendera putih ini dapat diturunkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad Fadhli, beliau dimaklumkan di kawasannya terdapat dua kes kejadian mengibarkan bendera putih.

“Setakat yang saya dimaklumkan bahawa ada dua kes didapati yang mengibarkan bendera putih dan saya telah minta diambil tindakan sewajarnya,” katanya.Mengulas isu sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, beliau di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sentiasa memberikan bantuan kepada masyarakat tanpa mengira usia, kaum dan bendera.

“Ketika Covid-19 ini, kita tahu semua orang tertekan. Ada yang asalnya mempunyai pekerjaan telah hilang pekerjaan.

“Kepada mereka yang memerlukan bantuan, saya di Pejabat DUN Sungai Air Tawar ini memberi bantuan seperti bakul makanan, bantuan sokongan kaunseling dan kita sedia mendengar pandangan daripada masyarakat,” ujar beliau.