Kerajaan kaji penubuhan dana kekayaan AI untuk rakyat - Anwar

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengkaji cadangan penubuhan dana kekayaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan manfaat ekonomi yang diperoleh negara daripada perkembangan teknologi itu turut dinikmati rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital diminta menjalankan kajian terperinci mengenai langkah yang boleh diambil seperti cadangan Senator Amerika Syarikat Bernie Sanders untuk menggubal undang-undang bagi menubuhkan dana AI dan membayar dividen kepada rakyat negara itu.
"Dari segi prinsip, saya setuju malah tidak tunggu tentang undang-undang. Umpamanya bila kita letakkan syarat gaji minimum tentunya (perkara itu) juga syarat yang harus dipatuhi oleh syarikat multinasional (MNC).
"Walaupun pada peringkat awal mereka bantah sebab dia (mereka) kata datang ke Malaysia kerana upah yang rendah. Saya kata tidak, itu mungkin 30 tahun dulu.
"Sekarang dia mesti terima kenyataan bahawa taraf hidup rakyat telah meningkat,” katanya pada program ’Dialog Negara’ yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 dan RTMKlik malam ini.
Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.
Perdana Menteri berkata, Malaysia menetapkan syarat tegas terhadap kemasukan pelabur asing dalam sektor AI, termasuk perlu menyediakan infrastruktur bekalan air dan latihan penguasaan dalam teknologi AI kepada warga tempatan.
"Umpamanya yang terakhir dengan Google, USD15 bilion masuk. Apa syarat kita? Yang belum kita lakukan, dia belanja RM600 juta siapkan bekalan air di Negeri Sembilan.
"Dia pastikan latihan 1,000 anak-anak kita bukan sekadar pengenalan pencerahan tentang AI, tetapi penguasaan yang lebih tinggi kerjasama dengan Universiti Malaya umpamanya.
"Itu hal-hal yang kita letakkan syarat sebelum mereka masuk. Kalau syaratnya terlalu banyak dan membebankan, mungkin dia tidak datang tetapi saya setuju bahawa kita harus tegas menunjukkan kesediaan kita mengundang pelabur tetapi jangan menyebabkan kesenjangan itu terus membengkak dan melebar.
"Ini masalah kita bukan sahaja soal AI, seluruh pertumbuhan ekonomi negara dalam sistem tanpa campur tangan dan asakan daripada pimpinan politik negara, dia akan menyebabkan kesenjangan. AI dia menyebabkan ketidaksamaan yang ketara, jadi kita harus membendung hal ini,” katanya.
Mengulas cabaran terhadap peluang pekerjaan rakyat tempatan susulan kepesatan perkembangan AI, Anwar berkata, kemunculan teknologi baharu serta kejutan dalam era pascanormal turut mencetuskan pelbagai permasalahan, termasuk dalam aspek kewangan.
Bagaimanapun, beliau berkata, kebijaksanaan dan kepintaran manusia membolehkan permasalahan yang bakal timbul dijangka serta penyelesaian dikenal pasti.
Perdana Menteri berkata, jabatan kerajaan dan sektor swasta perlu diberi sokongan yang boleh mewujudkan kepada peluang pekerjaan baharu seiring perubahan teknologi terkini.
Barisan panel pada program Dialog Negara ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak, Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim, Pegawai Perubatan dan pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital, Adam Shamil.
Turut serta ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal, Pendakwah Bebas Izzhar Nazri, Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
