AS cadang tarif sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia

Malaysia antara 14 ekonomi yang berdepan cadangan pengenaan tarif di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, dengan kadar tarif utama yang dicadangkan antara 15 hingga 35 peratus. Foto hiasan
Malaysia antara 14 ekonomi yang berdepan cadangan pengenaan tarif di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, dengan kadar tarif utama yang dicadangkan antara 15 hingga 35 peratus. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Amerika Syarikat (AS) mencadangkan tarif tambahan sehingga 18 peratus ke atas barangan Malaysia selepas mendapati dasar perindustrian dan amalan pembuatan Malaysia menyumbang kepada lebihan kapasiti dan pengeluaran berstruktur yang menurut Washington membebankan atau menyekat perdagangan AS.

Malaysia antara 14 ekonomi yang berdepan cadangan pengenaan tarif di bawah Seksyen 301 Akta Perdagangan 1974, dengan kadar tarif utama yang dicadangkan antara 15 hingga 35 peratus. Ekonomi lain termasuk China, Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam, Jepun dan Kesatuan Eropah (EU).

Dalam kenyataan pada Rabu, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer berkata, hasil siasatan mendapati strategi perindustrian tertentu yang diguna pakai oleh rakan dagang telah mewujudkan persaingan yang tidak adil bagi pengeluar Amerika.

"Selama beberapa dekad, banyak rakan dagang kita telah mengguna pakai strategi perindustrian yang berteraskan penyasaran sektor pembuatan, pengekangan gaji dan buruh, sokongan kewangan dan sokongan lain, input daripada ekonomi bukan pasaran serta amalan lain yang memesongkan pasaran sehingga imbangan perdagangan memihak kepada mereka, di samping menghakis asas sektor pembuatan Amerika," katanya.

Dapatan Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) mengenai Malaysia tertumpu kepada empat bidang, iaitu rancangan perindustrian dan sektoral untuk memperluas sektor pembuatan dan eksport, pembiayaan keutamaan menerusi program pembiayaan nasional, tindakan yang tidak mencukupi untuk menangani lebihan kapasiti yang dikaitkan dengan import dan pelaburan asing dari ekonomi bukan pasaran serta perlindungan buruh yang tidak memadai.

Laporan itu mengenal pasti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta industri automotif sebagai sektor yang menimbulkan kebimbangan khusus, dengan menyatakan bahawa dasar berkenaan boleh mengurangkan peluang komersial bagi pengeluar dan pengeksport AS di Malaysia serta pasaran lain.

Di bawah tindakan yang dicadangkan itu, tarif sehingga 18 peratus akan dikenakan ke atas barangan Malaysia sebagai tambahan kepada duti sedia ada, jika berkenaan, namun tertakluk kepada pengecualian bagi produk tertentu.

Mengenai Malaysia, USTR berkata, kadar tarif sehingga 18 peratus yang dicadangkan itu akan mengambil kira penolakan tarif sedia ada di bawah Seksyen 301, dengan pengecualian bagi barangan tertentu.

Cadangan itu mengambil kira duti sedia ada di bawah Seksyen 301 dan 232, rundingan yang sedang berlangsung dengan Malaysia serta komitmen di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas AS-Malaysia.

Bagaimanapun, USTR turut mencadangkan supaya tarif sehingga 25 peratus dipertimbangkan, selepas ditolak tarif sedia ada di bawah Seksyen 301, sekiranya rundingan yang sedang berlangsung dan komitmen di bawah perjanjian perdagangan timbal balas itu didapati tidak memuaskan.

Greer berkata, tindakan yang dicadangkan itu bertujuan menangani amalan perdagangan yang dianggap tidak adil oleh Washington serta memperkukuh daya saing pengeluar Amerika.

"Menyedari perkara ini, sejak 2016, pemimpin termasuk Donald Trump, Joe Biden, Xi Jinping dan Emmanuel Macron telah mengakui ancaman yang ditimbulkan oleh lebihan kapasiti dan pengeluaran berstruktur terhadap ekonomi global," katanya.

Sementara itu, USTR mengakui pendirian Malaysia bahawa negara itu mengamalkan sistem perdagangan berasaskan peraturan dan tidak menyumbang kepada lebihan kapasiti berstruktur, dengan kerajaan menegaskan bahawa ekosistem pembuatan Malaysia amat penting kepada rantaian bekalan global dan AS.

Malaysia turut menegaskan bahawa model ekonominya berasaskan pasaran dan responsif terhadap permintaan global, manakala eksportnya melengkapi dan bukannya bersaing dengan pengeluaran domestik AS.

Menurut notis itu, siasatan terhadap Malaysia dimulakan pada 11 Mac 2026, dengan USTR mengadakan rundingan dua hala bersama kerajaan Malaysia pada 12 Mei, namun rundingan itu tidak menyelesaikan kebimbangan Washington.

Pihak berkepentingan mempunyai tempoh sehingga 5 Januari 2027 untuk mengemukakan ulasan bertulis dan permohonan untuk menyertai sesi pendengaran awam yang dijadualkan bermula pada 25 Januari 2027 di Washington. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!