X

Kindly register in order to view this article
!

Sokongan keluarga cegah kejadian bunuh diri

Keluarga perlu memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan dan dorongan positif kepada ahli keluarga yang kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 bagi mengelakkan kepada tingkah laku bunuh diri. Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A

ALOR SETAR - Keluarga perlu memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan dan dorongan positif kepada ahli keluarga yang kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 bagi mengelakkan kepada tingkah laku bunuh diri.

Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Abdul Razak Abd Manaf berkata, ahli keluarga yang lain tidak boleh bertindak menambah lagi kedukaan golongan itu dengan pelbagai tohmahan dan kejian yang menyakitkan emosi mereka.

Sehubungan itu, semua ahli keluarga termasuk mentua dan ipar-duai perlu menggembleng usaha menyediakan ruang bantuan emosi yang positif kepada individu dalam keluarga yang menghadapi kesukaran ketika ini.

“Dalam keadaan seseorang hilang pekerjaan dan punca pendapatan serta berada dalam keadaan tekanan, ia akan mempengaruhi dinamik perhubungan individu berkenaan dengan ahli keluarga, kawan rapat dan masyarakat sekeliling.

“Perasaan atau emosi bercelaru memikirkan keadaan diri dan ketidaktentuan kehidupan. Rasa sedih, cemas, bimbang, marah dan pelbagai emosi negatif lain akan mudah terzahir apatah lagi bila ada faktor lain yang menambah kebarangkalian tingkah laku ‘buruk’ terjadi," katanya dalam kenyataan di sini.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pandemik Covid-19 memberi impak yang amat besar kepada kesihatan mental setiap individu di seluruh dunia dan tidak terkecuali rakyat Malaysia.

Dr Noor Hisham berkata, sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada 2020 iaitu 631 kes berbanding 609 kes pada 2019 dan hingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM.

Abdul Razak berkata, kesukaran menyara keluarga atau menyediakan kehidupan selesa serta menjamin kesejahteraan kewangan secukupnya boleh mencetuskan kegelisahan atau tekanan melampau kepada segelintir individu sehingga menjurus kepada keinginan untuk membunuh diri akibat rasa putus asa.

Individu terbabit disarankan meluahkan segala permasalahan dihadapi dengan cara bercerita masalah tersebut kepada seseorang yang mereka percaya bagi meringankan beban yang terbuku dalam fikiran.

Mereka juga boleh mendapatkan sokongan psikososial sama ada menerusi ahli keluarga, rakan ataupun ahli profesional di organisasi yang menawarkan perkhidmatan psikososial seperti pekerja sosial profesional, kaunselor dan pakar psikiatri.

Sokongan psikososial dan pendekatan kerohanian itu juga banyak disediakan dalam talian bagi memudahkan golongan tersebut mendapatkan bantuan. -Bernama


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)



Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!