Penubuhan Portal MyAssist MSME tepat pada masanya: Muhyiddin

Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Portal MyAssist MSME secara maya pada Rabu.
Muhyiddin ketika berucap pada Majlis Pelancaran Portal MyAssist MSME secara maya pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin penubuhan Portal MyAssist MSME dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menangani permasalahan dan isu berkaitan perniagaan ketika negara masih berdepan penularan pandemik Covid-19 ini.

Beliau berkata, portal itu merangkumi empat komponen utama iaitu pusat maklumat khidmat nasihat, padanan perniagaan dan ekspo perniagaan.

Jelasnya, kewujudan platform digital itu juga dilihat tepat pada masanya seiring dengan kehidupan normal baharu.

"Pandemik Covid-19 ini telah menyedarkan kita bahawa untuk maju, kita harus melepaskan diri dari keadaan normal dan mengembangkan pelbagai langkah untuk mengurangkan kesan terhadap rakyat dan ekonomi kita. Ia bukan lagi 'business as usual'.

"Inilah (tiba) masanya untuk idea baharu. Inilah masanya untuk berinovasi. Dengan pembatasan pergerakan dan pertemuan manusia secara fizikal, ia menyebabkan masyarakat secara tidak langsung terpaksa menerima penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan seharian, sekali gus mendorong peningkatan penggunaan teknologi maklumat.

"Pendigitalan merupakan elemen penting bukan sahaja untuk memulihkan perniagaan, tetapi juga kepada mereka yang ingin memulakan perniagaan," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Portal MyAssist MSME secara maya pada Rabu.

Muhyiddin dalam majlis sama turut merasmikan Minggu PKS Kebangsaan 2021 yang turut diikuti secara dalam talian oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, usahawan pada masa kini tidak boleh lagi mengambil sikap tunggu dan lihat sebaliknya perlu turut berubah dan menerima pendigitalan dalam perniagaan, agar mampu menghadapi persaingan dan meningkatkan kecekapan dalam operasi perniagaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan juga akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif pendigitalan bagi memantapkan lagi usaha membantu PKS sekali gus mengukuhkan pemulihan ekonomi negara.

"Saya ingin menggesa semua untuk memanfaatkan sepenuhnya Portal MyAssist MSME yang telah dibangunkan ini dalam membantu mengembangkan lagi perniagaan tuan-tuan dan puan-puan.

"Portal MyAssist MSME, dengan modul khidmat nasihat interaktif, padanan perniagaan serta e-pameran dan ekspo dalam talian merupakan pusat rujukan masa depan setempat atau one stop centre of the future. The future is now," katanya.

Tambahnya, ekonomi digital memainkan peranan utama dengan sasaran sebanyak 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada tahun 2025," katanya.