200 kaunselor bantu tangani masalah mental rakyat

Noor Azmi (kiri) menyerahkan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) ketika lawatannya ke PPV Tanjong Karang di sini pada Rabu.
Noor Azmi (kiri) menyerahkan sumbangan peralatan perlindungan diri (PPE) ketika lawatannya ke PPV Tanjong Karang di sini pada Rabu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menempatkan 200 kaunselor di seluruh negara di klinik kesihatan dan hospital kerajaan bagi menangani masalah kesihatan mental rakyat yang semakin membimbangkan.

Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, sebanyak 26 hospital kerajaan menyediakan perkhidmatan itu bagi membantu masalah emosi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Malah, katanya, Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) mendapati terdapat peningkatan dua peratus kes bunuh diri pada tahun ini berbanding dua tahun sebelumnya.

"Kita menerima hampir 500,000 kes membabitkan individu dewasa yang menghadapi kemurungan dan 400,000 lebih kanak kanak hadapi masalah mental," katanya pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tanjong Karang di sini pada Rabu.

Noor Azmi berkata, isu kesihatan mental menjadi perkara penting pada masa sekarang terutamanya dalam keadaan rakyat dibebani dengan isu seperti kehilangan pekerjaan dan pendapatan, pergaduhan antara ahli keluarga serta masalah rumah tangga dan bosan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, kerajaan telah lama memikirkan perkara itu dan turut mewujudkan Talian Bantuan Sokongan Psikososial.

"Talian ini diwujudkan supaya orang ramai boleh menghubungi bagi mendapatkan sokongan moral dan nasihat dalam menangani gejala tekanan yang dihadapi," katanya.

Beliau memberitahu, Talian Bantuan Sokongan Psikososial itu turut mendapat kerjasama daripada MERCY Malaysia dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain.

Artikel Berkaitan:

"Di peringkat KKM, kita memang mewujudkan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial atau MHPSS yang digerakkan kumpulan ini di peringkat daerah serta] negeri yang dianggotai pakar psikologi dan kaunselor.

"Mereka ini akan memberi nasihat dan sekiranya kes serius kita akan rujuk ke hospital," katanya.


Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)