Ebit Lew buka rumah Kasih Umat di Gaza

Ebit mendukung seorang kanak-kanak ketika sedang menjalankan misi bantuan kemanusiaan di Gaza, Palestin.
Ebit mendukung seorang kanak-kanak ketika sedang menjalankan misi bantuan kemanusiaan di Gaza, Palestin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pendakwah terkenal, Ebit Lew menyewa dua buah rumah di Gaza, Palestin untuk dijadikan sebagai tempat tinggal dan pusat aktiviti bagi anak-anak yatim yang kehilangan ahli keluarga akibat peperangan.

Beliau berkata, tempat yang dinamakan sebagai Kasih Umat itu kini turut digunakan untuk pemberian bantuan kepada keluarga memerlukan termasuk ibu tunggal.

Menurutnya, rumah dilengkapi dengan empat buah bilik luas dan selesa itu ketika ini didiami oleh 10 orang anak yatim dan mereka yang susah sebagai tempat tinggal serta kelas aktiviti bagi kanak-kanak.

“Ya ALLAH, terasa bersyukur sangat dapat buka Kasih Umat di Gaza, Palestin. Beribu orang kehilangan rumah tempat tinggal, kelaparan, kehilangan orang tersayang. ALLAHuakbar.

“Berat rasa hati. Ketika saat saya sendiri dalam diberi pelbagai nikmat. Ya ALLAH ampunkanlah diriku ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.

Ebit turut melahirkan penghargaan terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bersama membantu dalam misi tersebut.

Pada Isnin, media melaporkan rombongan Ebit berjaya memasuki Gaza bagi menjalankan misi bantuan kemanusiaan.

Ebit menerusi satu entrinya di Instagram memaklumkan rombongannya merupakan kumpulan pertama yang dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah selepas serangan baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Ebit (belakang, empat dari kanan) bergambar bersama kanak-kanak yang berada di rumah Kasih Umat.
Ebit (belakang, empat dari kanan) bergambar bersama kanak-kanak yang berada di rumah Kasih Umat.

Sementara itu, Ebit menerusi hantaran sama turut berkongsikan pengalaman sedihnya melihat sendiri penderitaan dihadapi rakyat Palestin kesan peperangan di negara itu.

“Menangis melihat anak-anak ini. Kecil lagi setiap hari hidup dengan peperangan. Saya tidur malam di sini terfikir, risau juga. Inikan pula anak-anak ini sepanjang hidup melalui hidup diuji begini.

“Kami ziarah satu keluarga. Seorang ibu tunggal bersama tujuh anak kecil lagi. Ada seorang tu bayi lagi. Ya ALLAH. Suaminya syahid baru ini kerana serangan bom. Masa mula sampai semua sedih. Saya tengok anak kecil ini, hati jadi tak tahan nak menangis.

“Saya dah sebulan belum jumpa anak isteri dan keluarga dah terasa sayu. Inikan pula anak kecil ini kehilangan ayah mereka. Tapi masih boleh tersenyum. Seronok bila bawa hadiah. Terus semua senyum. Sempat bermain-main terbang dengan anak-anak ini,” ujarnya.

Ebit berkata, keluarga tersebut dan semua ibu tunggal yang lain telah dibawa ke rumah Kasih Umat untuk mendapat sumbangan disediakan misi bantuan kemanusiaan itu.

Beliau turut memaklumkan bahawa rumah Kasih Umat itu juga bakal menggajikan guru untuk menjaga dan menguruskan tempat tersebut.