Saingan Piala Presiden, Piala Belia, Liga Premier Futsal ditunda

Stuart
Stuart
A
A
A

SAINGAN Piala Presdien, Piala Belia dan Liga Premier Futsal (MPFL) musim 2021 telah ditunda ke satu tarikh baharu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilanjutkan kerajaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pertandingan berkenaan hanya akan dapat dimulakan pada awal September 2021 kelak.

Menurutnya, setiap pasukan juga dibenarkan menjalani latihan 30 hari sebelum sepak mula bagi setiap pertandingan dan latihan yang diadakan perlu mengikuti kesemua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bergantung kepada keadaan semasa jumlah kes baharu harian Covid-19 yang akan mempengaruhi peralihan fasa dalam PPN,

“FAM ingin memaklumkan bahawa tarikh pertandingan Piala Presdien, Piala Belia dan Liga Premier Futsal (MPFL) musim 2021 kini terpaksa dianjakkan ke satu tarikh yang baharu iaitu paling awal pada September 2021.

“Anjakan ini dibuat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula pada 1 Jun lalu yang sepatutnya berakhir hari ini, masih dikekalkan penguatkuasaannya oleh kerajaan dan ditambah pula dengan pengumuman PPN oleh Perdana Menteri yang turut akan melalui beberapa fasa yang telah ditetapkan,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Sementara itu, Stuart memaklumkan, FAM juga sedang berusaha dan berkomunikasi dengan semua pihak berkaitan bagi mendapatkan kelulusan untuk kesemua pertandingan berkenaan dijalankan.

Bagaimanapun, ia adalah perancangan FAM serta tertakluk kepada perubahan dari semasa ke semasa kerana ia turut melibatkan dari segi format, jadual, peraturan dan juga tarikh sebenar aktiviti pertandingan.

“FAM juga akan memperkenalkan beberapa aktiviti atau bengkel secara dalam talian (online) yang berkaitan dengan pasukan-pasukan dalam masa terdekat dan sebarang makluman lanjut mengenai aktiviti ini akan dibuat sejurus selepas semua perkara diperincikan,” katanya.

Artikel Berkaitan: