Sila log masuk terlebih dahulu.

Lebih 300,000 OKU mendaftar dapatkan vaksin Covid-19

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kanan) beramah mesra bersama para penerima vaksin semasa melawat ke Pusat Latihan dan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi pada Selasa. - Foto Bernama
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kanan) beramah mesra bersama para penerima vaksin semasa melawat ke Pusat Latihan dan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Usaha yang digerakkan telah meningkatkan pendaftaran orang kelainan upaya (OKU) untuk mendapatkan vaksin Covid-19 apabila 306,740 OKU direkodkan telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera setakat Ahad lepas berbanding 280,904 yang mendaftar hingga 20 Jun.

"Kita akan gerakkan sukarelawan untuk membantu proses pendaftaran sama ada mereka berdaftar dengan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) (atau tidak) bagi memastikan golongan ini tidak terpinggir daripada proses vaksinasi," kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Bercakap kepada media selepas meninjau proses pemberian vaksin di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) di sini hari ini, termasuk melibatkan 26 pelajar OKU, Rina berkata, sehingga kini lebih 105,000 OKU telah menerima suntikan pertama dan lebih 38,000 OKU pula telah lengkap kedua-dua dos.

Mengenai isu kesihatan mental yang kian meruncing kebelakangan ini, Rina menjelaskan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani isu sosial di negara ini.

Menurutnya, Talian Kasih menerima 526 panggilan yang memerlukan bimbingan kaunseling dalam tempoh enam bulan lepas.

"Selain masalah ekonomi, banyak yang memerlukan kaunseling kerana terjejas pendapatan, kehilangan pekerjaan dan orang tersayang kerana Covid-19 malah ada yang bekerja dari rumah menghadapi tekanan kerana tidak boleh keluar rumah," katanya.

KPWKM ujar beliau, akan bekerjasama dengan 300 kaunselor berdaftar untuk bersama-sama menangani isu berkenaan.-Bernama

Artikel Berkaitan: