Lagak rempit pelajar sekolah terima padah

Antara yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Lekas.
Antara yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Lekas.
A
A
A

KAJANG – Aktiviti malam minggu sekumpulan pelajar sekolah menengah berlumba dengan aksi berbahaya di Lebuhraya Lekas, di sini, mengundang padah selepas dicekup polis menerusi Ops Samseng Jalanan.

Operasi bermula jam 12 tengah malam tadi dijalankan sepasukan Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, JSPT Selangor serta JSPT Negeri Sembilan.

Ketua JSPT Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, risikan mendapati beberapa kumpulan penunggang motosikal melakukan pelbagai aksi menunggang secara melulu dan merbahaya di Lebuhraya Lekas bermula dari Plaza Tol Kajang Selatan hingga ke susur keluar Nilai.

Menurutnya, malah penunggang motosikal ini turut berpatah balik secara menyongsang arus beberapa kali.

“Anggota polis yang telah ditempatkan di beberapa lokasi strategik di sepanjang kawasan pemantauan telah membuat pengecaman ke atas beberapa mereka yang terlibat.

“Kira-kira jam 2.40 pagi, serbuan telah dibuat ketika mereka ini memberhentikan motosikal di susur keluar Eco Hill,” katanya.

Beliau berkata, seramai 12 lelaki tempatan berusia lingkungan 15 hingga 23 tahun berjaya dicekup yang mana sembilan daripada mereka merupakan pelajar sekolah menengah.

Katanya, kesemua mereka ini telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Dalam operasi ini juga, sebanyak 30 saman telah dikeluarkan selain 19 buah motosikal disita.

“Operasi dibuat ini berdasarkan aduan daripada pihak konsesi lebuh raya berhubung kegiatan lumba haram. Polis serius dalam usaha menangani kegiatan lumba haram. Ia bukan sahaja membahayakan nyawa penunggang itu sendiri, malah turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.