Plastik kini ancaman besar

Isu pencemaran plastik di lautan kini semakin kritikal dan perlu segera diatasi kerana membawa kemudaratan bukan sahaja kepada hidupan laut, malah manusia.
Isu pencemaran plastik di lautan kini semakin kritikal dan perlu segera diatasi kerana membawa kemudaratan bukan sahaja kepada hidupan laut, malah manusia.
A
A
A

PLASTIK dianggap bahan ajaib ketika pertama kali dicipta. Dilaporkan sepanjang dekad pertama abad ini, dunia menyaksikan pengeluaran plastik mengatasi jumlah keseluruhan di abad ke-20. Namun, kesudahannya agak tragis. Hampir setiap tahun, berbilion kilogram plastik berakhir di lautan.

Disebabkan lautan tiada sempadan fizikal, dianggarkan kini antara 15 hingga 51 trilion kepingan plastik berada di lautan dunia dari Kutub Utara hingga Kutub Selatan dan dari permukaan bumi hingga ke dasar lautan.

Hakikatnya, hanya satu hingga tiga peratus plastik yang hanyut di lautan kekal di permukaan kerana sebahagiannya terurai menjadi plastik mikro yang memberi kesan buruk kepada hidupan marin dan keseluruhan rantaian makanan.

Lautan kini dipenuhi dengan spesies baharu yang bernama plastik dengan hampir 80 peratus plastik datang daripada sumber daratan yang dibawa oleh parit dan sungai ke lautan.

Kajian Profesor Jenna Jambeck daripada Universiti Georgia mendapati sebanyak 8.8 juta tan plastik berakhir di lautan seluruh dunia setiap tahun, manakala statistik Our World in Data (OWD) merekodkan 8.0 juta tan (bersamaan tiga peratus bahan buangan plastik global) akan mengalir ke laut menerusi pelbagai saluran.

Pencemaran plastik di laut berlaku di seluruh perairan dunia termasuk di wilayah paling terpencil seperti di Antartika. Dianggarkan sekitar 710 juta tan metrik plastik bakal mencemarkan alam sekitar pada tahun 2040, malah lautan dijangka mengandungi lebih banyak plastik daripada ikan menjelang 2050.

Di Malaysia, dianggarkan secara purata sebanyak sembilan bilion plastik digunakan oleh rakyat setiap tahun dan sebahagian besarnya juga berakhir di lautan.

Partikel plastik bukan sahaja membawa bahaya secara langsung apabila dimakan oleh haiwan di lautan, malah bahan kimia yang terdapat dalam plastik juga akan menyerap ke dalam tisu haiwan berkenaan. Ia memberi ancaman besar kepada kelangsungan hidupan marin dan kesihatan manusia apabila memakan sumber makanan laut yang dicemari mikroplastik dan nanoplastik.

Artikel Berkaitan:

Kira-kira 100 juta mamalia marin terbunuh setiap tahun akibat pencemaran plastik kerana menyangka ia sebagai makanan. Laporan ikan paus mati berpunca daripada plastik juga bukan perkara asing.

Memang menjadi amalan bagi pelbagai spesies ikan paus membuka mulut dengan luas untuk makan dan sebarang benda asing yang berada di hadapan terpaksa ditelan dan dihadam.

Kajian oleh Universiti Plymouth mendapati sisa buangan plastik mengancam kira-kira 700 spesies hidupan marin dengan separuh daripada haiwan terbabit dikategorikan diancam kepupusan. Malah, 92.5 peratus burung yang mendapatkan makanan di laut turut mati akibat tertelan plastik.

Isu pencemaran plastik di lautan kini semakin kritikal dan perlu segera diatasi kerana membawa kemudaratan bukan sahaja kepada hidupan laut, malah manusia.

Plastik bukan sahaja memberi bahaya kepada hidupan laut seperti penyu, anjing laut dan burung laut yang mencatatkan kematian tinggi akibat termakan sumber plastik, malah kini saintis mula mendapati bahaya itu terhadap ikan yang sering dimakan manusia.

Bahan kimia digunakan dalam plastik seperti Phthalates, Bisphenol A (BPA) atau Polybrominated sangat toksik dan banyak ditemui dalam ikan serta mamalia laut yang berupaya mengakibatkan kesan kronik ke atas kesihatan manusia termasuk gangguan endokrin dan proses mutasi yang mengakibatkan kanser.

Dianggarkan sejuta botol plastik dibeli setiap minit, maka masyarakat perlu dididik mengurangkan penggunaan plastik dalam usaha menangani pencemaran yang diakibatkan bahan berkenaan.

Dianggarkan sejuta botol plastik dibeli setiap minit, maka masyarakat perlu dididik mengurangkan penggunaan plastik.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan Belia dan Komuniti Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia