Empat lagi ditahan babit kes larikan peti besi berisi RM400,000

Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan peti besi yang dipecahkan pada sidang media selepas berjaya menumpaskan kes pecah pejabat di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kedah di Jalan Stadium Sabtu lepas.

 - Foto fail Bernama
Kamarul Zaman (tengah) menunjukkan peti besi yang dipecahkan pada sidang media selepas berjaya menumpaskan kes pecah pejabat di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kedah di Jalan Stadium Sabtu lepas.

 - Foto fail Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menahan empat lagi lelaki bagi membantu siasatan kejadian pecah masuk pejabat syarikat kurier yang mengakibatkan kerugian hampir setengah juta pada 23 Jun lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, empat suspek termasuklah dua lelaki yang diuar-uarkan dikehendaki itu ditahan secara berasingan di sekitar kawasan Alor Setar pada Sabtu dan Ahad.

Kamarul Zaman berkata, kesemua tangkapan berusia antara 20-an dan 30-an kini ditahan reman sehingga 3 Julai depan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

"Ekoran kejadian pecah masuk Pejabat Syarikat Logistik Cawangan Alor Setar pada 23 Jun, pihak polis telah berjaya membuat tangkapan susulan ke atas empat lelaki termasuk yang diuar-uarkan dikehendaki pada 26 dan 27 Jun di sekitar kawasan Alor Setar.

"Susulan penangkapan keempat suspek itu menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan terkini seramai 10 orang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, turut dirampas ialah wang wang tunai berjumlah RM70,450 yang disembunyikan dengan nilai rampasan keseluruhan wang tunai berjumlah RM333,745.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan dan mengenal pasti lain-lain individu yang terlibat serta baki wang tunai yang masih hilang dalam kejadian itu.

Katanya, orang ramai diminta membantu menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di talian 04-7326999 atau talian MERS.

Artikel Berkaitan:

Pada Sabtu, enam individu termasuklah tiga anggota polis yang disyaki terbabit melarikan peti besi mengandungi wang tunai RM400,000 di sebuah syarikat kurier, di sini ditahan.