Maduro terus angkuh, putus hubungan dengan Colombia

No Image Caption
A
A
A

CARACAS - VENEZUELA. Presiden Venezuela, Nicolas Maduro bertindak memutuskan hubungan diplomatik dengan Colombia di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat dalam usaha dilakukan pembangkang untuk membawa masuk bantuan asing ke kawasan sempadan.

Semalam, Maduro dengan angkuh mengarahkan diplomat Colombia meninggalkan Venezuela dalam tempoh 24 jam selepas negara kaya sumber minyak itu kini berada dalam cengkaman krisis ekonomi yang teruk.

Pengumuman itu dibuat selepas insiden pertempuran ganas di sempadan yang menyaksikan dua terbunuh berhampiran Brazil selain kira-kira 60 tentera berpaling tadah kepada pemimpin pembangkang, Juan Guaido yang turut memberi tamparan hebat kepada Maduro untuk mengekalkan kuasanya.

Sebagai respons kepada keputusan Maduro, Menteri Luar Colombia, Carlos Holmes Trujillo menegaskan Bogota tidak mengiktiraf 'legitimasi' pemimpin tersebut, namun akan memanggil pulang kakitangan diplomatik mereka dari Caracas secepat mungkin untuk melindungi integriti mereka.

Krisis diplomatik itu timbul selepas pentadbiran Maduro berdepan bantahan besar-besaran selepas ia mengarahkan penutupan sempadan negara itu dengan Colombia dan Brazil bagi menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan terdiri daripada bekalan makanan dan perubatan memasuki Venezuela.

Penunjuk perasaan merayu pihak berkuasa membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki sempadan. - Foto:AFP
Penunjuk perasaan merayu pihak berkuasa membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki sempadan. - Foto:AFP

Sehingga kini, Maduro menafikan berlaku krisis kemanusiaan di Caracas walaupun negara itu berdepan kekurangan bekalan asas dan inflasi melampau secara meluas.

Beliau mendakwa bantuan kemanusiaan itu kononnya sebahagian daripada rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk campur tangan dan menyingkirkannya.

Artikel Berkaitan:

Ketika berucap di hadapan para penyokongnya, Maduro sekali lagi menyelar usaha pihak digelar sebagai 'pengkhianat' yang mahu membawa masuk bekalan makanan dan ubat-ubatan ke negara itu.

"Demi maruah, kami akan 'berjuang' lebih keras dari sebelum ini," kata pemimpin itu dengan angkuh.

Pertempuran ganas di sempadan

Tentera dilaporkan melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata terhadap kumpulan penunjuk perasaan yang cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan di sempadan.

Trak yang membawa bekalan bantuan itu dibakar. - Foto:AFP
Trak yang membawa bekalan bantuan itu dibakar. - Foto:AFP

Sejumlah mangsa turut terkena tembakan peluru hidup yang menyebabkan sekurang-kurangnya dua maut termasuk seorang remaja berusia 14 tahun selain lebih 300 cedera.

Operasi berisiko tinggi untuk membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Venezuela bertukar huru-hara selepas pasukan keselamatan menggunakan kekerasan selain trak membawa bekalan turut dibakar.

Walaupun berdepan sekatan Maduro, Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara kira-kira sebulan lalu telah menetapkan tarikh akhir pada Sabtu untuk penghantaran bantuan kemanusiaan tersebut yang disimpan di Colombia dan Brazil serta Pulau Curacao.

Ratusan sukarelawan kebanyakan memakai baju putih kelihatan kecewa selepas usaha mereka untuk membawa masuk bekalan bantuan di sempadan Colombia dihalang pasukan keselamatan.

Situasi ganas di lintasan Santa Elena de Uairen bersempadan dengan Brazil dan San Atonio serta sekatan pihak berkuasa menyebabkan beberapa trak bantuan terpaksa berpatah balik.

Pertempuran ganas tercetus selepas pasukan keselamatan menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Venezuela. - Foto: AFP
Pertempuran ganas tercetus selepas pasukan keselamatan menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke Venezuela. - Foto: AFP

Guaido dalam satu kenyataan mengecam keras tindakan kekerasan yang dilakukan pasukan keselamatan.

AS 'akan ambil tindakan'

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menegaskan Washington akan mengambil tindakan selepas beliau mengutuk keganasan yang dilakukan 'samseng' Maduro ke atas kumpulan penunjuk perasaan.

"AS akan bertindak ke atas mereka yang menentang pemulihan demokrasi aman di Venezuela. Sudah tiba masanya untuk menyokong keperluan rakyat Venezuela yang semakin terdesak.

"Kami berdiri dalam solidariti dengan mereka yang berjuang untuk kebebasan dan mengutuk serangan ke atas orang awam di Venezuela. AS menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang menjadi korban keganasan itu. Kami menyertai mereka untuk menuntut keadilan. #EstamosUnidosVE," katanya menerusi Twitter.