12 ditahan, rokok seludup RM7.84 juta dirampas

Sahabudin (dua dari kanan) menunjukan kotak rokok seludup yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Mertajam pada Isnin.
Sahabudin (dua dari kanan) menunjukan kotak rokok seludup yang dirampas pada sidang akhbar di Bukit Mertajam pada Isnin.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis menahan 12 lelaki tempatan bersama 680 kotak yang mengandungi 34,000 karton rokok tidak bercukai bernilai RM7.84 juta dalam tiga serbuan di sekitar Machang Bubok dan Bukit Tengah di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, operasi melibatkan sepasukan polis dari Cawangan Jenayah Berat (D9) dan Operasi Khas (D8) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPDSPT) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis menyerbu sebuah rumah teres di Alma di sini pada jam 10.30 pagi selepas menjalankan intipan sejak jam 5 pagi.

"Dalam serbuan pertama, polis menahan enam lelaki warga tempatan di kediaman tersebut. Setengah jam selepas itu, kita menyerbu sebuah rumah teres di Taman Sri Juru lalu menahan lima lelaki lagi.

"Susulan itu, kita menyerbu sebuah lagi rumah di Taman Cendana, Juru dan menahan seorang lelaki pada jam 12 tengah hari. Kesemua yang ditahan merupakan ahli sindiket rokok haram yang giat aktif sejak empat bulan lalu," katanya pada sidang akhbar di IPDSPT di sini pada Isnin.

Beliau berkata, kesemua kotak rokok yang mengandungi 34,000 karton atau 4.8 juta batang itu ditemui di ketiga-tiga rumah teres yang disewa tersebut.

"Kesemua rumah itu dijadikan stor untuk menyimpan kesemua rokok tersebut selain ia juga menjadi kediaman kepada semua ahli sindiket yang ditahan.

"Jumlah keseluruhan rokok yang dirampas ialah sebanyak 4.6 juta batang rokok putih dan 691,200 batang rokok kretek. Kesemua nilai rokok yang dirampas bernilai RM7.84 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain rampasan rokok, Sahabudin berkata, pihaknya turut menyita sembilan buah kenderaan pelbagai jenis bernilai RM236,000.

"Jumlah keseluruhan rampasan dan nilai sitaan bernilai RM8.04 juta. Kesemua berusia lingkungan 18 hingga 38 tahun itu ditahan reman 13 hari untuk siasatan lanjut.

"Lima yang ditangkap mempunyai rekod jenayah melibatkan pelbagai kesalahan termasuk judi, dadah dan kesalahan Akta Kastam," ujarnya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan sindiket yang ditahan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini.

"Bagaimanapun kita masih menyiasat dalang sindiket ini kerana 12 yang ditahan ini hanya ahli sindiket," katanya.

Menurutnya, kesemua rokok itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan untuk pasaran di bahagian utara tanah air.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.