DM Malaysia bantu tingkat kreativiti golongan wanita

Maini (kanan) bergambar bersama pereka fesyen, Najib Salman (kiri) yang turut menjadi panel penilai bagi pertandingan itu.
Maini (kanan) bergambar bersama pereka fesyen, Najib Salman (kiri) yang turut menjadi panel penilai bagi pertandingan itu.
A
A
A

PUCHONG - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Kebajikan DM Malaysia (DM Malaysia) mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Mereka Cipta Topeng Muka dan Jahitan Manik Sempena Hari Raya Aidil Adha 2021 dalam usaha membantu mengembangkan kreativiti golongan wanita di luar bandar ke peringkat perniagaan lebih serius

Pertandingan yang bermula pada 20 Jun lalu mendapat penyertaan seramai 10 orang wanita termasuk ibu tunggal di sekitar kawasan Kuala Selangor.

Pengasas DM Malaysia, Datin Maini Jali berkata, pihaknya menganjurkan pertandingan itu bertujuan untuk memberi ruang kepada golongan wanita di Kuala Selangor menzahirkan kreativiti mereka dalam penghasilan seni fabrik dan jahitan manik.

"Secara tidak langsung, usaha ini dapat menjana minda kreatif dan memberi idea kepada golongan ini untuk menjana pendapatan pasif ketika pandemik menerusi jualan topeng muka dan jahitan manik ini," katanya selepas sesi penilaian pertandingan itu yang berlangsung di D Mainiza Boutique, Bandar Kinrara pada Ahad.

Dalam pada itu, Maini berkata, peserta terlibat perlu menghantar baju kurung dan topeng muka masing-masing yang telah diubah suai kepada pihak penganjur dalam tempoh seminggu selepas pertandingan bermula untuk proses penilaian.

Katanya, johan pertandingan bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, manakala tempat kedua pula RM500 dan lapan tempat saguhati bernilai RM200.

"Saya berharap semua peserta dapat memanfaatkan pertandingan yang dianjurkan bagi menjadikannya sebagai batu loncatan untuk meneruskan idea kreatif masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan: