Cuepacs gesa kerajaan tangani isu status kontrak KKM

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan agar menangani segera isu status kontrak pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Presidennya, Adnan Mat berkata, tindakan tersebut wajar dilakukan bagi memastikan kebajikan dan pembangunan kerjaya doktor-doktor muda di negara ini terjamin.

Ujar beliau, Cuepacs tidak mahu ia memberi kesan jangka panjang kepada sektor perkhidmatan kesihatan awam negara apabila bakal-bakal doktor muda melihat tiada sinar masa depan dan memilih untuk berkhidmat di luar negara.

“Ketika itu apabila negara kekurangan tenaga pakar barulah kita semua sedar kesilapan yang telah dibuat.

“Selain itu, Cuepacs merasakan adalah tidak wajar sektor perkhidmatan perlu (essential services) seperti KKM tertakluk dengan dasar kawalan saiz perkhidmatan awam.

“Perkara ini perlu diteliti semula kerana ia keperluan yang amat penting untuk rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu tersebut dilihat semakin serius apabila terdapat seruan Hartal Doktor Kontrak untuk pegawai perubatan kontrak melakukan mogok pada Julai depan jika masalah tersebut belum diselesaikan.

Menurutnya, Cuepacs berdiri teguh dan bersolidariti bersama doktor-doktor muda ini dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dalam memperjuangkan hak pekerjaan mereka untuk mendapat status lantikan tetap.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, Cuepacs tidak menyarankan seruan Hartal Doktor Kontrak diteruskan kerana dikhuatiri menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam negara yang berada dalam situasi genting ketika ini.

“Pertambahan penduduk Malaysia setiap tahun sekitar 900,000 ke 1 juta orang setiap tahun juga memerlukan pertambahan doktor bagi merawat dan mengendalikan fasiliti kesihatan negara.

“Jadi, tiada salahnya untuk kerajaan mempertimbangkan pemberian lantikan tetap kepada pegawai perubatan berstatus kontrak ini yang telah terbukti kompetensinya dalam perkhidmatan semasa negara sedang mengalami darurat kesihatan,” ujarnya.

-Tamat-