Makan durian: Artis bergelar Datuk dipanggil polis

Tangkap layar gambar seorang selebriti menyertai majlis sosial di Bidor pada Khamis lalu. - Foto ihsan pembaca.
Tangkap layar gambar seorang selebriti menyertai majlis sosial di Bidor pada Khamis lalu. - Foto ihsan pembaca.
A
A
A

TAPAH - Polis akan memanggil seorang penyanyi bergelar Datuk untuk diambil keterangan berhubung penularan gambar pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dalam satu majlis sosial di sebuah ladang Kampung Poh, Bidor di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, beberapa individu lain dipercayai peniaga dan penduduk kampung turut dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

"Polis mengesan penularan gambar majlis sosial di laman Facebook melibatkan selebriti dan beberapa individu kira-kira jam 2 petang hari ini (Sabtu).

"Dalam penularan gambar tersebut terdapat pelanggaran SOP PKP 3.0 yang mana tiada penjarakan sosial dan tidak memakai pelitup muka," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, siasatan mendapati gambar tular itu diambil oleh individu yang turut serta dalam majlis tersebut.

"Turut hadir dalam perjumpaan tersebut terdiri dalam kalangan ahli perniagaan tempatan serta beberapa penduduk kampung selain melakukan aktiviti jamuan serta berkaraoke.

"Siasatan dijalankan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998," katanya.

Wan Azharuddin berkata, orang ramai dinasihatkan tidak menganjurkan sebarang bentuk majlis atau perhimpunan sepanjang tempoh PKP 3.0 dan sentiasa mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

Katanya, masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.