Kejora sumbang barang keperluan asas untuk 21 KRT

Che Zakaria (kiri) menyampaikan sumbangan barang keperluan asas kepada wakil KRT di Wisma JKKK Felda Tunggal, Kota Tinggi pada Sabtu.
Che Zakaria (kiri) menyampaikan sumbangan barang keperluan asas kepada wakil KRT di Wisma JKKK Felda Tunggal, Kota Tinggi pada Sabtu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) menyumbangkan sebanyak 210 kotak barang-barang keperluan asas untuk diagihkan di 21 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Parlimen Pengerang di sini pada Sabtu.

Pengerusi Kejora, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, sumbangan bernilai RM20,000 itu bertujuan meringankan beban penerima ketika pandemik Covid-19 termasuk ada yang tidak bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selepas ini kita akan perluaskan bantuan di semua kawasan Kejora melibatkan dua daerah iaitu Kota Tinggi dan Kluang. Di bawahnya ada lima Parlimen dan lapan Dewan Undangan Negeri (DUN)," katanya kepada pemberita selepas Program Bakul Makanan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kejora 2021 di Wisma Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Felda Tunggal di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Che Zakaria berkata, Kejora memberikan penangguhan bayaran sewa, pinjaman dan pembelian melibatkan rumah serta premis miliknya sebagai insentif sepanjang PKP 3.0.

Katanya, insentif tersebut bagi meringankan beban pembayar selepas mengambil kira keadaan amat sukar ketika ini.

"Ini melibatkan penangguhan bayaran sewa rumah kampung tersusun melibatkan 94 penyewa dengan implikasi kewangan RM46,078. Begitu juga penangguhan bayaran balik pinjaman bagi 37 unit Rumah Pangsa Bandar Tenggara di Kota Tinggi dengan implikasi kewangan RM22,200," katanya.

Menurutnya, insentif berkenaan turut melibatkan pengecualian bayaran sewaan premis tiga unit bangunan komersial dan tapak perniagaan Kejora dengan implikasi kewangan RM4,200.

Jelasnya, ini termasuk pengecualian bayaran sewaan premis perniagaan Kejora melibatkan 285 peniaga dan usahawan melibatkan implikasi kewangan RM248,298.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, penangguhan dan penjadualan semula bayaran sewaan premis pelancongan melibatkan empat operator premis pelancongan dengan implikasi kewangan RM326,778.

"Dianggarkan 423 peniaga dan peminjam akan menerima manfaat melibatkan jumlah keseluruhan implikasi kewangan RM647,554," katanya.