Sila log masuk terlebih dahulu.

Politik pembangunan atau pembangunan politik?

A
A
A

PILIHAN RAYA sering dikaitkan dengan gelagat dan tindakan populis yang dimainkan oleh setiap parti dalam meraih undi daripada rakyat. Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih masa kini juga dapat dilihat bagaimana parti-parti politik menabur janji dan juga 'gula-gula politik' dalam pelbagai bentuk untuk memenangi hati pengundi

Dalam konteks ini, ia dapat dilihat melalui manifesto-manifesto yang telah dibuat oleh parti pemerintah atau pembangkang. Namun di PRK Semenyih persoalan manifesto kurang diberikan perhatian kerana parti politik sendiri berpendirian bahawa manifesto bukanlah janji. Sesetengah pengundi di Semenyih juga mempersoalkan pelaksanaan manifesto semasa PRU14 yang belum dilaksanakan sepenuhnya.

Namun melalui ceramah misalnya sering kedegaran oleh calon dan pekerja politik semasa berkempen akan melakukan sesuatu pembangunan jika memenangi PRK berkenaan. Ini termasuklah persoalan pembangunan infrastruktur, ekonomi, peluang pekerjaan, pembinaan tempat ibadah dan riadah. Malah pengumuman untuk menghapuskan tol dan penurunan harga petroleum menjelang hari pengundian juga dianggap sebagai kenyataan populis bersifat pembangunan. Maka politik pembangunan sudah menjadi resipi sejak sekian lamanya dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

Malahan aliran atau trend pembangunan jugalah yang menjadi perhatian rakyat, kerana rakyat melihat apa yang mereka akan peroleh dan faedah yang akan mereka terima hasil daripada sesuatu pembangunan yang hendak diberikan.

Oleh yang demikian, konteks pembangunan memainkan peranan penting bagi sesebuah parti untuk memenangi pilihan raya. Hal ini dibuktikan dengan kemenangan BN pada pilihan-pilihan raya sebelum ini. Namun andaian dan teori ini dapat disangkal apabila pendekatan politik pembangunan tidak lagi berjaya melekat di hati pengundi sehingga pembentukan Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Walaupun berbilion projek pembangunan dan juga perubahan infra serta info struktur yang kita nikmati sekarang, namun ia tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk undi. Ternyata rakyat Malaysia sudah matang dalam berpolitik. Walaupun segalanya diberi, dan diterima, tetapi mereka mempunyai pilihannya tersendiri dalam menentukan pemimpin dan kerajaan.

Michael Laver (1986) menganggap politik sebagai kesalinghubungan antara manusia dalam satu-satu kelompok sosial. Interaksi-interaksi yang berlaku di dalam kumpulan manusia tersebut terkandung antaranya konflik. Oleh itu politik merupakan hubungan antara individu dengan negara yang dihuninya. Negara juga dilihat sebagai sekumpulan masyarakat (majoriti) yang menentukan aturan-aturan norma dalam masyarakat serta membentuk undang-undang yang harus dipatuhi oleh setiap warga.

Maka, setiap individu dalam kumpulan akan bekerjasama dalam mencari penyelesaian untuk menyelesaikan konflik yang berlaku antara mereka. Ia merupakan proses yang melibatkan perbincangan, pembuatan keputusan dan pelaksanaan dalam mencari penyelesaian yang berkesan dalam mengurus masyarakat

Artikel Berkaitan:

Manakala pembangunan boleh didefinisikan sebagai satu proses membolehkan kehidupan manusia merealisasikan potensi, membina keyakinan serta membawa kehidupan ke arah kemuliaan dan penuh bermakna yang membebaskan manusia dari rasa takut untuk meminta dan dieksploitasi serta merupakan pergerakan yang menjauhkan dari penindasan politik, ekonomi dan juga sosial.

Pembangunan melibatkan proses menyusun dan mengorientasi semula sistem ekonomi dan sosial. Ini bermakna bahawa pembangunan bukan sahaja melibatkan pertambahan kepada pendapatan dan pengeluaran, bahkan juga mengambil kira perubahan institusi sosial, struktur pentadbiran, pendapat umum, adat resam dan kepercayaan. Falsafah dalam pengajian pembangunan juga melihat persoalan pembangunan kepada persoalan terhapusnya kemiskinan, kurangnya jumlah penganguran serta rapatnya jurang ketaksamaan.

Politik pembangunan dapat diterjemahkan melalui projek pembangunan yang memberi faedah tersirat kepada rakyat antaranya ialah meningkatkan pendapatan rakyat, dan menambahkan peluang pekerjaan. Menambahkan peluang perniagaan, menaikkan taraf ekonomi rakyat dan juga pelbagai lagi faedah yang bakal diterima oleh rakyat sekiranya pembangunan berada di kawasan mereka.

Politik pembangunan merupakan aspek penting dalam kemajuan sosioekonomi sesuatu kawasan, terutamanya di kawasan yang masih belum membangun di pedalaman. Dalam bahasa mudahnya, dengan pembangunan akan menjadi laba dan keuntungan kepada sokongan politik terutama parti pemerintah.

Ia berbeza dengan pembangunan politik. Coleman melihat pembangunan politik berlaku apabila wujudnya perubahan struktur politik daripada sistem politik tradisional kepada sistem politik moden bagi menciptakan kestabilan dan pendemokrasian politik negara.

Struktur politik yang moden memberikan keberkesanan yang lebih baik berbanding struktur politik tradisional yang dilihat mundur, tidak cekap, dan mempunyai banyak kelemahan. Ini kerana bagi Coleman, struktur politik amat penting kerana perkembangan dan kemajuan negara bergantung kepada sistem politik yang baik dan berkesan.

Struktur politik mestilah berkesan untuk mengoperasikan sistem politik dalam negara bagi memastikan negara tersebut lebih maju daripada sebelumnya. Oleh itu, pembangunan politik mesti melibatkan perubahan terhadap struktur politik yang berkesan, khususnya antara pemerintah dan rakyat.

Almond & Powell dalam bukunya Comparative Politics: A Developmental Approach (1966) melihat pembangunan politik melibatkan dua perubahan utama, iaitu differentiation dan secularization. Differentiation ini merujuk kepada structural differentiation iaitu pemisahan peranan eksekutif, legislatif dan judisiari dalam sesebuah pemerintahan. Bagi Almond & Powell, pemisahan kuasa antara ketiga-tiga cabang kerajaan ini adalah penting untuk pembangunan politik sesebuah negara kerana ia akan mengurangkan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan.

Manakala, secularization pula merujuk kepada sekularisasi budaya politik daripada sistem tradisional yang kurang pengkhususan dari sudut fungsi kepada sistem politik yang lebih moden.

Dalam konteks Malaysia, BN dan Pas perlulah membuat perubahan dan struktur bagi berhadapan dengan senario politik masa kini. BN sewajarnya merubah watak dan tingkah laku sebagai parti pembangkang di peringkat Persekutuan. Perlu mendapatkan formula yang lebih ampuh untuk bersaing dengan PH di persada politik khususnya semasa pilihan raya. Ternyata gabungan parti-parti politik dalam pembangkang terbukti apabila PH mampu menewaskan BN pada PRU14 yang lalu.

Persoalannya, sejauh mana BN khususnya UMNO akan terus bergabung dan bersama Pas berhadapan dengan PH di Semenyih. Kenyataan Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa Pas tidak akan bekerjasama dengan UMNO di Semenyih. Namun di padang kempen dan banyak ceramah serta konvoi kelihatan wujudnya kerjasama UMNO-Pas. Situasi ini juga merupakan pembangunan politik yang menyaksikan bahawa sebagai sebuah negara demokrasi, rakyat berhak untuk menentukan pilihannya sendiri sama ada secara individu atau dalam bentuk berkumpulan.

Jelasnya politik pembangunan merupakan perkara yang sangat berkesan, untuk mempengaharui rakyat memilih sesebuah parti politik dalam pilihan raya. Hal ini terbukti dengan dasar-dasar dan usaha membangunkan negara untuk membantu rakyat. Walau bagaimanapun, sebahagian dasar yang dilaksanakan itu tidaklah sepenuhnya terlaksana. Dalam masa sama parti-parti politik sentiasa mencari formula bagi memastikan kerelevanan dan sokongan rakyat dengan membuat perubahan dan pembangunan politiknya.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara