X

Kindly register in order to view this article
!

Bersyukur sahaja tidak selesai

A
A

BARU-BARU ini terserempak pula dengan Pak Jaafar. Sempat saya bertanya tentang status anak beliau yang baru pulang dari luar negara dan dikuarantinkan selama 14 hari.

Katanya, anaknya dikuarantinkan di hotel berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beberapa hari.

“Dah dapat pengecualian bayaran caj kuarantin ke?” tanya saya ingin tahu.

“Belum dapat lagi,” katanya.

Kata Pak Jaafar lagi: “Kuarantin dekat hotel selama tiga hari. Kemudian hotel telefon kena buat bayaran dulu. Kalau tak buat bayaran kena hantar ke pusat kuarantin awam.”

“Tak minta tangguh ke?” tanya saya.

“Hotel tak mahu. Kena bayar dulu,” jawab Pak jaafar.

“Sekarang anak kat mana?” tanya saya lagi.

“Dah dipindahkan ke Pusat Kuarantin Awam (ILA). Itupun terpaksa bayar caj hotel tiga hari. Semua sekali RM450. Nasib baik anak aku ada duit sikit,” jawab Pak Jaafar.

“Di ILA murah sikitkan?” tanya saya.

“Murah RM50 sahaja. Masih kena bayar juga. Nak keluar nanti kena bayar. Kalau tak bayar mungkin kena tindakan. Kalau dapat pengecualian kos, baru boleh dapat balik duit yang dah dibayar,” kata Pak Jaafar lagi.

“Pihak pengecualian kos kuarantin Kementerian Kesihatan tak jawab lagi ke?”

“Aku ada terima panggilan telefon juga. Katanya, memang kena bayar dulu, kemudian baru boleh tuntut semula. Itupun katanya memang lambat dapat tahu lulus atau tidak permohonan. Katanya lagi, ada yang buat permohonan pada bulan Mei pun belum dapat tahu lagi lulus atau tidak,” jawab Pak Jaafar.

Pak Jaafar mengeluh. Sekarang katanya susah hati berfikir di mana hendak cari duit RM1,100 untuk bayar, sebelum anaknya habis tempoh kuarantin. Hendak pinjam duit dengan saudara, mereka pun susah juga.

Kata Pak Jaafar lagi: “Aku ada telefon juga pembantu peribadi (PA) Exco. Minta tolong sangat dengan dia untuk bantu aku. Sebab aku ada dengar di Sarawak, kerajaan negeri yang tanggung rakyat negerinya bayar caj kuarantin.”

“Apa kata PA Exco tu?” tanya saya.

“Huh! Panas juga hati aku. Kau tahu tak, ada ke dia kata, anak saudaranya balik dari Jerman pun dia tak bantu. Kena bayar juga,” jawab Pak Jaafar.

Saya terkejut juga dengan jawapan PA Exco tersebut. Ada ke jawab macam tu. Anak saudara dia dengan anak Pak Jaafar tidak patut disamakan. Mungkin anak saudara dia orang ada-ada. Anak Pak Jaafar, anak rakyat marhaen yang bukan ada-ada

Bagi orang-orang ada-ada, setakat bayaran kuarantin RM2,100, pejam mata sahaja. Orang macam Pak Jaafar ini bukan orang senang.

Lagipun, belanja harian pun perlu berjimat cermat. Apatah lagi kalau terpaksa bayar caj kuarantin, makin sengsara poketnya.

Elok juga dicadangkan supaya bayaran kuarantin tidak dicaj terutama melibatkan pelajar yang baru pulang dari luar negara. Bagi percuma sahaja sepatutnya. Tidak perlulah hendak diklasifikasikan B40 atau M40.

Takkan kerajaan hendak berniaga juga dengan rakyat yang susah. Lagipun kerajaan yang hendakkan kuarantin, maka eloklah kerajaan yang menanggungnya.

Kalau orang berniaga atau orang yang keluar negara atas urusan kerja, moleklah disuruh membayarnya. Lagipun mereka berduit. Untuk rakyat marhaen sepatutnya diambil kira akan kemampuannya.

Ramai rakyat jelata sekarang hidupnya susah. Saya ada terbaca juga dalam media sosial keadaan rakyat jelata yang tidak mampu hendak beli susu anak, hendak makan dan bermacam-macam lagi kesusahan hidupnya.

Ada yang diberi cuti tanpa gaji, dipotong gajinya dan ada juga elaun dipotong disebabkan syarikat tidak mampu membayarnya. Mungkin kerajaan perlu ambil kira semua ini terutama mereka yang terkesan disebabkan perintah kawalan pergerakan ini.

Bukannya muat naikkan gambar makan maggi di media sosial, kemudian berkata, kita perlu bersyukur kepada ALLAH dengan apa yang kita ada.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: [email protected]


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!