Jumlah kutipan LZS meningkat pada musim pandemik

Saipolyazan (tiga dari kiri) diiringi Pengarah Hospital UiTM, Profesor Dr Sazzli Shahlan Kasim (kiri) menyantuni penerima vaksin di Dewan Berlian UiTM Puncak Alam, Kuala Selangor pada Jumaat.
Saipolyazan (tiga dari kiri) diiringi Pengarah Hospital UiTM, Profesor Dr Sazzli Shahlan Kasim (kiri) menyantuni penerima vaksin di Dewan Berlian UiTM Puncak Alam, Kuala Selangor pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jumlah kutipan zakat Lembaga Zakat Selangor (LZS) meningkat 10 hingga 15 peratus meskipun dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop berkata, peningkatan itu berdasarkan kutipan sepanjang Januari hingga Mei lalu.

Menurutnya, peningkatan kutipan zakat itu bukan sahaja di Selangor, malah di kebanyakan negeri lain.

"Saya mendapat maklumat, jumlah kutipan zakat di negeri lain juga meningkat dan ini menunjukkan pandemik ini tidak menghalang mereka yang berkemampuan untuk terus membantu menunaikan kewajipan masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Serahan Kerusi Roda kepada Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam, di sini pada Jumaat.

Saipolyazan berkata, umat Islam yang berkemampuan digalakkan untuk terus membantu mereka yang dalam kesusahan.

"Kita mengharapkan apabila berlaku pandemik ini, kesedaran masyarakat untuk membantu semakin tinggi sama ada dalam bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui badan bukan kerajaan (NGO) ataupun dengan membayar zakat.

"Saya percaya jika momentum ini dikekalkan oleh pembayar zakat sehingga hujung tahun ini jumlah kutipan akan terus meningkat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai program itu, Saipolyazan berkata, sebanyak 20 kerusi roda diserahkan kepada Hospital UiTM sebagai usaha berterusan menyokong institusi awam di negara ini dalam menangani pandemik Covid-19.

"Sumbangan kerusi roda dilihat dapat membantu kelengkapan hospital terutama untuk kegunaan pesakit di pelbagai wad lebih-lebih lagi Hospital UiTM kini telah dilantik sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala mega," katanya.

Selain itu, katanya, Hospital UiTM antara 17 hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur yang menerima sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS berjumlah RM1.7 juta.

"Sumbangan ini sebahagian usaha LZS menyantuni golongan terkesan bagi meringankan beban mereka yang memerlukan kos pembiayaan menjalani rawatan di hospital," ujarnya.