Sindiket jual vaksin: Kes pertama dilaporkan

Dr Noor Azmi
Dr Noor Azmi
A
A
A

TAPAH - Sindiket penipuan penjualan vaksin membabitkan tiga jurujual syarikat swasta pada Rabu lalu adalah kes pertama dilaporkan setakat ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, daripada semakan dibuat, belum ada mana-mana laporan membabitkan penjualan vaksin diterima sebelum ini.

"Kita tidak pernah dengar lagi kes sebegini, bagaimanapun saya percaya polis akan menjalankan siasatan menyeluruh.

"Kita sedang menantikan siasatan itu sebelum tindakan lanjut dilakukan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Merdeka Tapah, di sini pada Jumaat.

Beliau menegaskan bahawa perbuatan menjual vaksin adalah satu kesalahan kerana pemberian suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan adalah percuma, dibeli dan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Justeru katanya, pengambilan suntikan terbabit di mana-mana fasiliti kesihatan awam mahupun swasta tidak boleh dikenakan sebarang bayaran.

"Di mana pun kita ambil suntikan vaksin yang di luar (premis) kerajaan contohnya klinik, hospital swasta dan sebagainya ia tidak boleh dikenakan bayaran. Ini adalah seruan dan sah kepada semua," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tiga individu termasuk dua wanita ditahan dalam tangkapan berasingan di Putrajaya dan Brickfields kerana disyaki terbabit dalam sindiket penjualan vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 25 hingga 50 tahun itu susulan laporan polis oleh seorang Pegawai Penyelidik di Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) yang mendapat maklumat mengenai aktiviti penjualan vaksin.

Modus operandi yang digunakan sindiket itu dengan menghubungi orang awam melalui telefon secara rawak sebelum menawarkan suntikan vaksin Covid-19 dengan bayaran RM420 bagi dua dos.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada isu penjualan vaksin Covid-19 di Kelantan