X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada isu penjualan vaksin Covid-19 di Kelantan

Abdullah (kanan) bersama pegawai dan anggota meninjau penugasan dan kawalan di Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa yang dikenakan PKDP bermula Jumaat sehingga 8 Julai.
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan mengesahkan masih belum menerima sebarang laporan berkaitan isu penjualan vaksin tidak sah berlaku di negeri ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, bagaimanapun pihaknya sedia menjalankan siasatan lanjut jika menerima laporan berkaitan perkara itu.

"Nasihat saya, jika ada yang menjadi mangsa teruslah datang ke balai polis berhampiran untuk membuat siasatan berhubung perkara itu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil," katanya di sini pada Jumaat selepas diminta mengulas dakwaan wujudnya aktiviti penjualan vaksin kepada orang ramai di negara ini.

Abdullah hadir bersama pegawai dan anggota bagi meninjau penugasan dan kawalan di Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKDP) bermula Jumaat sehingga 8 Julai.

Abdullah berkata, seramai 3,868 pegawai dan anggota polis Kelantan serta kakitangan awam yang bertugas di bawah seliaan badan berkenaan telah melengkapkan dos kedua suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, jumlah tersebut melibatkan proses suntikan vaksin sehingga Khamis.

"Jumlah keseluruhan warga polis di negeri ini seramai 5,200 orang.

"Proses pemberian vaksin ini akan terus berjalan bagi memastikan imunisasi kelompok berjaya disempurnakan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

Mengulas mengenai penugasan di PKPD Kampung Pulau Tukang Dollah, Abdullah berkata, polis akan memperketatkan kawalan bagi mengekang aktiviti keluar masuk penduduk seramai 866 orang.

Katanya, polis dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah memasang kawat berduri di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai lorong tikus.

Beliau berkata, sehingga Jumaat seramai 260 penduduk telah disaring dan 41 orang telah disahkan positif Covid-19.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!